19.8.09

LIRIK: Hari-hari Hari Raya


Hari Raya lambat lagi
hatiku terasa rindu
ku terbayang warna-warni
baju kurung dan baju melayu

Aroma enak di dapur
melambai padaku
untukku tambah pada pinggan
berbalang-balang kuih
yang keras aku buat
dan ku tahu kau tetap akan makan

Paling penting pada Hari Raya
kita takkan bergaduh
kau simpan egomu
ku simpan egoku

Jika hari-hari Hari Raya
pasti kita akan lebih bahagia
tak perlu marah-marah pada dunia
jika hari-hari Hari Raya

Hari Raya belum sampai
dan kita baru saja bergaduh
cukup sukar nak berdamai
memang mudah untuk buat bodoh

Beraneka e-kad raya
melambai padaku
untuk ku isi dan hantarkan
dan diantaranya ada satu untukmu
kau buatku marah jadi ku batalkan

Hari-hari bukan Hari Raya
kita pasti bergaduh
kau tayang egomu
ku tayang egoku

Jika hari-hari Hari Raya
pasti kita kan lebih bahagia
tak perlu marah-marah pada dunia
jika hari-hari Hari Raya

Lagu dan Lirik oleh Ana Raffali (© 2009 anaraffali muzik ent.)

NOTA: Lagu paling baru yang saya tulis. Saksikan lagu ni pada hari raya pertama di 8TV Quickie. ;)

Hari yang perlahan

Terima kasih kepada yang sudi meluangkan masa menghantar soalan-soalan awak kat saya. Insya-Allah, poskad awak akan sampai dua-tiga hari lagi.


Malam ni saya ada sesi temuramah dengan Dina dan Haniff di Xfm. 103.00

Mungkin sebab tu saya rasa macam hari ni merangkak perlahan-lahan menguji saya. ;p

2.8.09

Saya tak minum kopi

Bukan penggemar kopi. Saya akan sentiasa pilih teh sebagai minuman panas rasmi. Mungkin saya tak suka kopi sebab rasanya pahit. Tapi kopi yang manis pun saya tak akan minum. Masa saya kecik saya ingat kopi tu minuman orang tua-tua (tahun-habis-sekolah ke atas). Saya pernah curi-curi hirup kopi orang yang mummy buat kat rumah. Saya buat kesimpulan saya tak nak jadi orang tua bila saya besar.

Dulu ada banyak benda yang saya tak faham tentang kopi. Entah macamana sedikit-sebanyak pengetahuan saya tentang kopi bertambah tiap-tiap tahun tanpa diusahakan. Seolah-olah ilmu itu memang tertulis di dalam buku pelan pengajian hidup saya. (Oleh itu, semestinya bukan lagi seolah-olah tetapi memang.) Sebagai contoh, masa darjah 4, kami diberi teks pemahaman tentang pemprosesan biji kopi. Menarik, cuma kekurangannya pada kegagalan untuk menjelaskan bagaimana biji kopi boleh bertukar menjadi gula-gula kopiko.

Dulu saya tak faham kenapa sesetengah orang perlu minum kopi hari-hari. Kemudian saya belajar tentang konsep kafein, ketagihan, kuiz pagi esok dan tak habis ulangkaji lagi malam ni dari kawan-kawan masa kat asrama. Ini merupakan satu fenomena tersendiri. Paling hebat, ada yang mampu (sanggup) meratah serbuk kopi '3 in 1' kerana terlalu 'sibuk' untuk memanaskan air. Saya memang kagum dengan kegigihan teman-teman saya ni. Macam ada magik pada kopi yang saya tak pernah rasa.

2 tahun lepas, masa di Roma dengan abang saya, Khalil, kami singgah di sebuah kafe yang telah disyorkan dalam buku panduan kami.


Kafe yang berusia 249 tahun itu amatlah terkenal dengan Ekspressonya. Jadi saya dan Khalil masing-masing minta "mai secawan" dalam bahasa Itali. Kami memang dah penat jalan seharian mencari tempat-tempat menarik di Roma. Kaki saya memang dah mula komplen.



Saya tak terkejut bila cawan yang sampai sangatlah kecil dibandingkan dengan kopi yang selalu saya lihat orang minum di gerai-gerai kat rumah. Yang saya terkejutnya ialah apabila kopi itali yang kami minum tu mula buat kami rasa... bes semacam.



Saya memang tak suka kopi, tapi pada hari yang bersejarah itu, di kafe yang bersejarah itu, kami gelak suka hati macam orang yang menang loteri. Dan bila kami melangkah keluar dari kafe tu, kami rasa macam kami boleh langkah beribu-ribu batu lagi. Mungkin ada benda lain yang mereka letak dalam minuman kami, Tuhan saja yang tahu. Hehe..



Ni lah namanya orang yang jakun terhadap benda baru. Kesimpulannya, kita tak akan tahu sehinggalah kita mencuba. Walaupun ada benda-benda kat dunia ni yang kita tak perlu tahu dan kita tak patut cuba, nasib baik kopi bukan benda-benda itu.

Saya masih tak suka kopi. Saya tak hanya basahkan tekak saya dengannya, saya teguk sampai habis. Saya mengalaminya. Mengalami sesuatu dengan dalam dan sehabisnya belum tentu boleh suka dan lekat padanya, inikan pula mengalaminya dengan ringan dan sekadar cuba rasa.

Dahagala pulak.