25.10.09

Ulangtahun EH yang ke-10

Satu pengalaman yang baru. Membuat persembahan di satu tempat yang tak mampu menampung begitu ramai orang dengan selesa. Mereka yang hadir rata-ratanya berwajah tertanya-tanya siapa saya.

"Saya Ana Raffali. Saya menyanyikan lagu-lagu yang saya tulis sendiri."

Kemudian saya nyanyi, dan saya dapat bayangkan mereka mula kenal dan cuba faham saya dengan lagu-lagu yang saya bawa.

Saya bukan yang terbaik, tapi saya cuba. Yang penting saya cuba untuk ke depan, dan tak menyorok belakang orang atau bawah idealogi seni untuk suka-suka sebab tak yakin dengan apa yang saya ada. Saya dah bosan mendengar orang mempertikaikan perjuangan saya atau rakan-rakan saya dalam bidang ini. Kalau betul-betul minat, buat sepenuh hati. Kalau tak serius, tolong jangan buang masa.

Saya percaya saya ada lagu-lagu yang awak mungkin dapat rasa dan suka. Saya mesti percaya itu lebih dari orang lain. Dan saya mesti menulis lebih banyak lagu yang bagus-bagus, sebab awak berhak mendengar lagu-lagu yang dikarang dan digubah sepenuh hati, untuk awak suka nyanyikan bila-bila masa, di mana-mana saja.

Terima kasih kerana mendengar, saya memang berharap awak akan kenal saya melalui lagu-lagu saya. ;)


P/S: Saya dan the Marhaens akan beraksi di Konsert Generasiku di RTM, 1 November ini. Datang dan cari saya dan geng. ;p

19.10.09

KOSMO! Online. 18/10/09

Gadis gitar berkebaya

Setiap lagu ada momen tersendiri. Saya mahu memperjuangkan muzik dan Melayu




Aksi seorang gadis berkebaya di pentas sambil memeluk dan memetik gitarnya tampak begitu manis sekali. Dia Ana Raffali, bagi yang belum mendekatinya.

Gadis ini jatuh cinta dengan gitar dan baju tradisi warisan Melayu dan dia selesa dengan segala yang disarungkan. Lebih bermakna lagi, Ana bukan sekadar menyanyi dengan gitar, bukan juga mengisi masa lapang atau sekadar hobi.

Dia malah melagukan melodi dan nyanyian untuk merealisasikan cita-citanya, mahu bergelar penyanyi sekali gus komposer. Malah, serius dengan impian itu.

Vokal gadis berusia 23 tahun ini sudah kedengaran di corong-corong radio membawakan lagu ciptaan sepenuh miliknya, Hujan Bunga Di Kuala Lumpur. Menyuntik aura cinta melalui lagu ini dengan imaginasi dan perasaan bunga-bunga mengintai seorang jejaka, itu adalah sifat Ana, penuh dengan mimpi-mimpi dan khayalan.

Hanya bermula dengan seorang pemimpi di siang hari dan masih kekal dengan sifat itu, Ana sudah berhasil menulis sekitar 30 buah lagu. Itu hasil dan impak dirinya yang banyak membaca buku cerita. Itu juga adalah amanat arwah kakak yang pernah menjadi pendorong setia jiwa seni Ana.


ANA banyak meraih inspirasi daripada seorang jejaka Jepun.


Lewat jatuh cinta

Lewat jatuh cinta dengan gitar, ia bukan alasan buat Ana untuk tidak meneruskan cita-citanya. Pada usia masih bergelar mahasiswi, dia yang sering berkumpul dengan kawan-kawan sambil menyanyi dan berlagu gitar menyedari bahawa instrumen itu bakal mewarnai lagi sajak-sajak yang ditulisnya. Lantas dalam hujan yang lebat dan duit yang dikongsi bersama teman, dia berlari mendapatkan Fortee 6, jolokan yang diberikan kepada gitar pertamanya yang dibeli di Petaling Jaya.

Bersatu dengan gitar milik sendiri, lagu pertama yang dilagukan berjudul Masih. "Saya menyanyi kali pertama di pentas untuk sebuah acara, Layar Tanchap yang diadakan di Shah Alam, melagukan lagu ciptaan sendiri. Secara serius pula pada acara Akustik Rantai di Annexxe, Pasar Budaya, Kuala Lumpur," ujarnya yang kala itu dalam debar campur teruja. Ungkap Ana lagi, antara faktor yang mencetuskan dirinya menyanyi sambil memetik gitar ialah temannya, seorang jejaka Jepun yang banyak memberinya inspirasi dan membawanya menonton konsert John Mayer di negara matahari terbit itu.

Bertemu Aidit Alfian

Jalan dengan hasrat yang tersimpan erat bagaikan sudah ditakdirkan apabila berlaku pertemuan dengan komposer Aidit Alfian yang menemui Ana di laman web YouTube. Nasihat yang disampaikan oleh komposer itu untuk terus berkarya antara azimat yang dipegang Ana hingga kini bergelar artis di bawah Aidit Alfian Records. Bersama Aidit, Ana mula meneroka pentas demi pentas. Lantas grup Marhaens ditubuhkan dengan anggotanya terdiri daripada Aidit Alfian, Andy FP, GG, Alfa Booty, Mie FP, Rumie Booty dan Iqbal mengiringi dan mengukuhkan lagi persembahan dan bunyi-bunyian muzik ciptaan Ana. Antara lagu yang sudah mendapat tempat di hati penggemar setianya termasuklah Tingkap Kaca, Ghost dan Mekanika.




"Perancangan kini sesudah keluar dengan single pertama, Hujan Bunga Di Kuala Lumpur ialah bagi menghasilkan album pula. Jika tiada aral melintang, bulan Januari depan, album saya akan muncul dengan enam buah lagu hasil ciptaan sendiri," tuturnya yang menyatakan darah seni itu sudah mengalir deras dalam setiap ahli keluarganya menerusi pelbagai cabang.

"Sejak dulu lagi saya tidak berasa pelik apabila melihat gadis bermain gitar. Tetapi dalam dunia seni tempatan, masih belum ramai lagi yang beraksi begitu dan saya mahu bergerak secara serius. Bukan hanya menyanyikan lagu-lagu saya, tetapi jauh di sudut hati, saya mahu memberikan lagu ciptaannya kepada penyanyi lain untuk dinyanyikan," ucapnya yang mengagumi M. Nasir sebagai komposer dan penyanyi.

"Setiap lagu yang saya tulis merupakan entiti kehidupan. Setiap lagu ada momen tersendiri. Saya mahu memperjuangkan muzik Melayu. Saya mahu khalayak berasa bangga dengan lagu-lagu dan bahasa kita," ujarnya yang manis berbaju kebaya hijau muda dan duduk bersila ketika ditemu ramah. - Sofiatul Shima Wan Chik


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=1018&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_03.htm

16.10.09

cubaan untuk berpuisi 3


Kau khabarkan padaku anganmu
Ku riwayatkan kisah dongengku
Kita kumpulkan kedua-dua cerita
dan pintalkannya menjadi satu

makin hari makin berjela
makin dikongsi makin menjadi
seutas tali berbentuk harapan
yang tak tersukat panjangnya

lalu ku belitkan satu hujung
kemas ke badanku
dan kau lilitkan satu lagi hujung
rapi ke badanmu
dan kita berputar
mengikut landasan tali itu

makin hari makin terjerat
makin berputar makin mendekat
hingga kita tiada ruang untuk lari
ke arah yang bertentangan

hakikatnya, walaupun kita ada dua impian yang berbeza, setelah dikongsi bersama, harus bergerak sekaki.

dikarang oleh ANH Raffali (© 2009 anaraffali muzik ent.)
3. 19 pm Rumah

9.10.09

Artis

Hari ni saya ada majlis rumah terbuka Utusan. Masih cuba menyesuaikan diri dengan persekitaran baru. Dikelilingi golongan media, artis dan wakil dari syarikat-syarikat yang bersangkut-paut dengan industri saya ni. Pssst.. kalau ikutkannya, saya pemalu dan gemuruh.. tapi saya cuba untuk rileks sket dan berbual dengan orang lain.

Konvo saya 18hb ni. Alhamdulillah, saya dapat tamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan TESL (Hons) dalam Kelas Pertama. Macam-macam yang saya lalui. Walaupun tak akan menjadi guru bahasa Inggeris di mana-mana sekolah dalam masa yang terdekat, saya percaya ilmu yang saya dapat selama ini menyuluh jalan saya sekarang, membantu saya mencapai matlamat saya sebagai seorang penyanyi-penggubah lagu yang hebat, InsyaAllah. ;)

Sebenarnya saya rasa pelik sangat nak gelar diri sendiri "artis" sekarang, inikan pula orang lain yang labelkan begitu. Tapi realitinya macam tu, memang saya dah pun jadi seorang "artis" rakaman dibawah Aidit Alfian Records. Nak lari macam mana? Memang ni yang saya nak buat, menyanyi dan menulis lagu, mengharapkan lagu-lagu saya dapat peluang bertempat di hati masyarakat umum, para marhaen. Jadi, nak tak nak saya kena biasakan diri, kuatkan semangat, berpegang pada janji saya nak berusaha sehabis boleh untuk keluarga dan kerja saya.

Yang penting kena jujur. Susah nak pisahkan kerjaya dengan hal peribadi kelak. Tapi, untuk yang membaca blog saya ni, harap awak biarkan lagu-lagu yang saya tulis bercakap bagi pihak saya. Ini bukan main-main. Ini bukan sekadar hobi. Ini namanya matlamat dan perjuangan hidup.