29.5.09

3 VENUS

Terima kasih buat mereka yang berhajat untuk melihat kami bertiga (+ dll) di Annexe, Ahad ni. Terharu rasanya. Wani memang hebat. Tengahari tu saya ingatkan kami cuma berangan kosong. Tapi, rupa-rupanya dia serius.

Saya gubah melodi di kepala, dan bermain-main dengan bunyi gitar. Terus dirakam. Tak lama lepas tu, Wani kata dia dah siapkan liriknya. Dasyat! Kemudian, Fynn mendengar dan bercerita, menyimpulkan hasrat kami semua dengan lunak suaranya. Macam bercinta. Haha.. Jodoh kami, mungkin.

photo courtesy of aboutthelettera.com

Saya benar-benar harap, persembahan kali ini bes. Sayangnye, abang Aidit dan geng Marhaens (kecuali si Iqbal) tak dapat temankan. Tanggungjawab saya kali ni sangat besar.

Saya dah buat keputusan untuk memainkan lagu-lagu yang tak pernah saya persembahkan di khalayak ramai. Berikut adalah setlistnye;

1) Mekanika
2) Ketika (aku kecil)
3) Cuba Jangan

4) Kek Merah
5) Small Hearts
6) Paint Me

Saya harap anda semua akan pulang dengan senyuman di bibir, dan lagu-lagu di hati. Saya harap Wani dapat lupakan beban-beban kerjanya dan menyanyi dengan jiwa yang tenang. Saya harap Fynn cepat sembuh supaya kami dapat dengar suaranya yang menyentap jantung. Saya harap saya tak hampakan bigboss dan puan manager, kawan karib, kawan-kawan baik, geng Marhaens, geng Ana Raffali dan lain-lain.

Terima kasih kerana menyokong kami!

22.5.09

KAMI (1982)

Baru habis tengok KAMI (DIN+TOOKOO) di TV2. Mungkin filem Malaysia yang paling saya gemari, antara sebabnya; Allahyarham Sudirman. Tak tahu kenapa, mata saya rasa panas, pipi saya basah, hidung tersumbat. Sebak. Dah lama saya tak dengar lagu Sudirman. Lupa.

Masa saya kecil, saya suka gila Sudirman. Kalau ada videoklipnya kuar kat TV, saya akan berangan yang kononnya saya "backup dancer"nya. Menari-nari bagai reti. Pelik... kenapa bila dah besar, diri keras dan kaku. Pokok pun lagi pandai bergoyang dari saya.

Saya membesar dengan lagu Sudirman. Bila hujan, saya nyanyi lagu "Hujan". Bila raya nak dekat, nyanyi lagu "Balik Kampung". Bila rasa emo semacam, keluarlah lagu "Merisik Khabar". Lagu-lagunya sungguh sedap di dengar. Beliau sebagai seorang artis tiada tandingannya menghidupkan lagu yang dibawa. Mungkin tak dapat dijelaskan dengan kata-kata, dengarkan dan rasa sendiri.

Saya mengaku, Sudirman merupakan antara sebab saya menghargai lagu dan senikata tempatan. Lagu-lagu melayu kita yang terdahulu cukup kaya dengan bahasa dan melodi yang mengasyikan, menggoda dan membelai. Para penulis lagu, baik komposer dan penulis lirik dululah yang memastikan nafas industri muzik kita tak pernah putus. Sehinggakan penyanyi-penyanyi tempatan seperti Allahyarham dapat menjiwai lagu-lagu tersebut dan menyampaikannya dengan penuh merdu.

Kombinasi berkat dari usaha penyanyi, komposer, penulis lirik, penggubah muzik, pemuzik, jurutera bunyi, penerbit, dan lain-lain inilah yang menjadikan sesuatu lagu itu berjiwa. Saya harus berterima kasih kepada mereka yang bertanggungjawab, membantu saya mengenal apa itu lagu dan irama, puisi dan senikata. Terlebih lagi yang telah pergi tapi masih bernyawa dalam lagu yang tercipta sesuai untuk dinyanyikan sekarang dan sampai bila-bila.

Al-Fatihah.

NOTA: Mummy kata masa saya baby dan kami balik kampung untuk raya, Allahyarham Sudir dukung saya dan berikan saya kucupan di dahi. Mungkin ini cinta pandang pertama?

16.5.09

LIRIK: Cuba Jangan



Cuba Jangan

kau suruh ku masak sedap-sedap
agar ibumu setuju
aku turutkan saja.
ku bergelut dengan sayur, ikan
yang namanya ku tak tahu
hingga akhirnya ku capai telefon
untuk panggil bomba.

aku bukan yang terbaik
tapi ku cuba
ku cuba
hanya satu yang ku pinta
agar kau cuba
kau cuba

jangan suruh aku jadi seperti dia
aku tak mahu walau ku daya
kalau tak nak
usah bilang kau nak
biar aku jadi seperti aku
bukannya susah untuk mengaku
ada sebab kau tinggalkan dia

kau suruh ku make-up lawa-lawa
agar temanmu cemburu
aku tepekkan segala.
ku bergaduh dengan bedak, gincu
yang tak serasi dengan ku
hingga akhirnya kau temankan aku
ke klinik pakar.

aku bukan yang terbaik
tapi ku cuba
ku cuba
hanya satu yang ku pinta
agar kau cuba
kau cuba

jangan suruh aku jadi seperti dia
aku tak mahu walau ku daya
kalau tak nak
usah bilang kau nak
biar aku jadi seperti aku
bukannya susah untuk mengaku
ada sebab kau memilih aku

mana mungkin ku kan terima
jadi bayang-bayang dirinya
dan berhenti menjadi aku.

jangan suruh aku jadi seperti dia
aku tak mahu walau ku daya
kalau tak nak
usah bilang kau nak
biar aku jadi seperti aku
bukannya susah untuk mengaku
ada sebab kau memilih aku

Lagu dan lirik oleh Ana Raffali (© 2009 anaraffali muzik ent.)

3.5.09

SUBJEK: JELAJAH UNIVERSITI/KOLEJ

Final Projek dah siap!

Ya.. saya sangat hepi. Sekarang dah takde alasan untuk tak fokus kat kerjaya pilihan saya; penyanyi-penggubah (singer-songwriter).

Antara agendanya;

1) Single HBKL
2) Secret Gig
3) Hari Bintang Jatuh; 3 Venus

Minggu lepas saya berkesempatan bertemu dengan warga MMU Melaka dan KLIUC. Kedua-duanya merupakan pengalaman yang cukup indah bagi saya kerana ada diantara yang hadir memang mengikuti perkembangan saya secara online. Saya rasa terharu bila ada yang datang berjumpa dengan saya untuk bertegur sapa dan merakam gambar. (Terima kasih kerana sudi bergambar ye!) Kalau boleh saya nak jumpa dengan semua yang sedang membaca catatan saya ini.

Oleh itu, dengan mendapat lampu hijau dari encik big boss dan puan manager, kami dengan ini sedia menerima sebarang jemputan membuat persembahan dari mana-mana pihak penganjur yang terdiri daripada pelajar dari kelab atau persatuan universiti/kolej masing-masing. Saya dan the Marhaens akan cuba menyerikan majlis anda sekiranya anda dapat menyediakan duit minyak dan makan (serta tempat penginapan jika perlu) yang secukupnya untuk kami beraksi dengan selesa (saya akan cuba diet). Yang selainnya ditanggung beres!

Sila emailkan jemputan anda dalam format berikut;

SUBJEK: (Nama Universiti/Kolej)

Nama Wakil:
No Tel:
Penganjur:
Universiti/Kolej:
Tujuan Majlis:
Tarikh Majlis:

Emelkan ke; saya(at)anaraffali(dot)com

Jom!