24.11.09

Ana Raffali tinggalkan sekolah demi gitar

Saya yakin awak yang membaca blog saya tahu yang saya telahpun menamatkan pengajian saya. Lebih jelas; dalam program Sarjana Muda Pendidikan Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai bahasa Kedua dengan kepujian dalam Kelas Pertama di UiTM. 

Saya harap awak tak menanam fikiran yang bukan-bukan.

Saya memang berhajat untuk menjadi seorang cikgu. Saya memang seorang yang sukakan ilmu pengetahuan secara amnya, saya suka membaca. Saya suka bertanya, saya suka menjawab, saya suka mencari jawapan untuk pertanyaan orang. Saya pasti kawan-kawan saya di sekolah mahupun universiti boleh kata "kalau Ana tak tahu jawapan kita, dia tetap akan carikan."

Kebanyakan jawapan yang saya jumpa terselit di helaian buku-buku yang saya baca. Bukan lagi kemungkinan, saya memang ulat buku dari kecil. Saya lebih gemar membaca dari beriadah. Saya percaya jika setiap orang memegang sebuah buku yang mereka suka, dunia ini akan lebih aman. Dan ketika ingin menduduki SPM, saya sedar saya tak mau lagi menjadi seorang pegawai penyelidik seperti abah, saya mahu mengikut jejak guru bahasa Inggeris saya yang menggalakkan saya membaca dan menulis.

Mudah, bukan? Saya suka kanak-kanak. Saya percaya budaya membaca patut diterapkan dari kecil. Mesti ada sebab-sebab tertentu kenapa budak-budak sekarang kurang membaca, saya bertekad untuk memahaminya dan cuba mengubahnya. Mungkin dengan menjadi seorang guru, saya dapat mengajar murid-murid saya untuk cintakan bahasa dan ilmu yang terkandung dalam buku-buku. Mendidik mereka berfikiran luas dan terbuka, menggalakkan mereka bertanya dan mencari jawapan, untuk berkongsi apa yang mereka faham. Alangkah indahnya...

Tapi sekarang saya lebih tahu, ada sesuatu kepuasan yang lain bila sebuah lagu tertulis, menjawab pertanyaan hati sendiri. Dan kepuasan itu berganda apabila lagu itu dikongsi dan maksudnya membina rantaian kefahaman sesama insan yang tak perlu nama untuk dikenal, asalkan terbukanya hati untuk mengerti. 

Saya percaya wujudnya keajaiban pada kata-kata, dalam bahasa yang menjadi tali pengikat kita sejagat. Muzik itu adalah bahasa, dengan muzik jiwa kita bertegur sapa, bertanya khabar, bertukar jenaka, bercerita, berkongsi ilmu. Sebuah lagu itu, saya kira bagaikan sebuah cerita yang terkandung di dalam buku yang menemani pendewasaan saya. Saya jumpa sesuatu yang bukan menggantikan impian dulu, hanya melengkapkan apa yang ada, *peluang mengisi ruang kosong hati* ;p

Pendidikan untuk seumur hidup. Dunia sebuah bilik darjah yang besar, dan kita adalah teman seperjuangan dalam menimba ilmu. Izinkan saya berkongsi apa yang saya tahu, dan silakan... berilah tunjuk ajar.