24.11.09

Ana Raffali tinggalkan sekolah demi gitar

Saya yakin awak yang membaca blog saya tahu yang saya telahpun menamatkan pengajian saya. Lebih jelas; dalam program Sarjana Muda Pendidikan Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai bahasa Kedua dengan kepujian dalam Kelas Pertama di UiTM. 

Saya harap awak tak menanam fikiran yang bukan-bukan.

Saya memang berhajat untuk menjadi seorang cikgu. Saya memang seorang yang sukakan ilmu pengetahuan secara amnya, saya suka membaca. Saya suka bertanya, saya suka menjawab, saya suka mencari jawapan untuk pertanyaan orang. Saya pasti kawan-kawan saya di sekolah mahupun universiti boleh kata "kalau Ana tak tahu jawapan kita, dia tetap akan carikan."

Kebanyakan jawapan yang saya jumpa terselit di helaian buku-buku yang saya baca. Bukan lagi kemungkinan, saya memang ulat buku dari kecil. Saya lebih gemar membaca dari beriadah. Saya percaya jika setiap orang memegang sebuah buku yang mereka suka, dunia ini akan lebih aman. Dan ketika ingin menduduki SPM, saya sedar saya tak mau lagi menjadi seorang pegawai penyelidik seperti abah, saya mahu mengikut jejak guru bahasa Inggeris saya yang menggalakkan saya membaca dan menulis.

Mudah, bukan? Saya suka kanak-kanak. Saya percaya budaya membaca patut diterapkan dari kecil. Mesti ada sebab-sebab tertentu kenapa budak-budak sekarang kurang membaca, saya bertekad untuk memahaminya dan cuba mengubahnya. Mungkin dengan menjadi seorang guru, saya dapat mengajar murid-murid saya untuk cintakan bahasa dan ilmu yang terkandung dalam buku-buku. Mendidik mereka berfikiran luas dan terbuka, menggalakkan mereka bertanya dan mencari jawapan, untuk berkongsi apa yang mereka faham. Alangkah indahnya...

Tapi sekarang saya lebih tahu, ada sesuatu kepuasan yang lain bila sebuah lagu tertulis, menjawab pertanyaan hati sendiri. Dan kepuasan itu berganda apabila lagu itu dikongsi dan maksudnya membina rantaian kefahaman sesama insan yang tak perlu nama untuk dikenal, asalkan terbukanya hati untuk mengerti. 

Saya percaya wujudnya keajaiban pada kata-kata, dalam bahasa yang menjadi tali pengikat kita sejagat. Muzik itu adalah bahasa, dengan muzik jiwa kita bertegur sapa, bertanya khabar, bertukar jenaka, bercerita, berkongsi ilmu. Sebuah lagu itu, saya kira bagaikan sebuah cerita yang terkandung di dalam buku yang menemani pendewasaan saya. Saya jumpa sesuatu yang bukan menggantikan impian dulu, hanya melengkapkan apa yang ada, *peluang mengisi ruang kosong hati* ;p

Pendidikan untuk seumur hidup. Dunia sebuah bilik darjah yang besar, dan kita adalah teman seperjuangan dalam menimba ilmu. Izinkan saya berkongsi apa yang saya tahu, dan silakan... berilah tunjuk ajar.

25.10.09

Ulangtahun EH yang ke-10

Satu pengalaman yang baru. Membuat persembahan di satu tempat yang tak mampu menampung begitu ramai orang dengan selesa. Mereka yang hadir rata-ratanya berwajah tertanya-tanya siapa saya.

"Saya Ana Raffali. Saya menyanyikan lagu-lagu yang saya tulis sendiri."

Kemudian saya nyanyi, dan saya dapat bayangkan mereka mula kenal dan cuba faham saya dengan lagu-lagu yang saya bawa.

Saya bukan yang terbaik, tapi saya cuba. Yang penting saya cuba untuk ke depan, dan tak menyorok belakang orang atau bawah idealogi seni untuk suka-suka sebab tak yakin dengan apa yang saya ada. Saya dah bosan mendengar orang mempertikaikan perjuangan saya atau rakan-rakan saya dalam bidang ini. Kalau betul-betul minat, buat sepenuh hati. Kalau tak serius, tolong jangan buang masa.

Saya percaya saya ada lagu-lagu yang awak mungkin dapat rasa dan suka. Saya mesti percaya itu lebih dari orang lain. Dan saya mesti menulis lebih banyak lagu yang bagus-bagus, sebab awak berhak mendengar lagu-lagu yang dikarang dan digubah sepenuh hati, untuk awak suka nyanyikan bila-bila masa, di mana-mana saja.

Terima kasih kerana mendengar, saya memang berharap awak akan kenal saya melalui lagu-lagu saya. ;)


P/S: Saya dan the Marhaens akan beraksi di Konsert Generasiku di RTM, 1 November ini. Datang dan cari saya dan geng. ;p

19.10.09

KOSMO! Online. 18/10/09

Gadis gitar berkebaya

Setiap lagu ada momen tersendiri. Saya mahu memperjuangkan muzik dan Melayu




Aksi seorang gadis berkebaya di pentas sambil memeluk dan memetik gitarnya tampak begitu manis sekali. Dia Ana Raffali, bagi yang belum mendekatinya.

Gadis ini jatuh cinta dengan gitar dan baju tradisi warisan Melayu dan dia selesa dengan segala yang disarungkan. Lebih bermakna lagi, Ana bukan sekadar menyanyi dengan gitar, bukan juga mengisi masa lapang atau sekadar hobi.

Dia malah melagukan melodi dan nyanyian untuk merealisasikan cita-citanya, mahu bergelar penyanyi sekali gus komposer. Malah, serius dengan impian itu.

Vokal gadis berusia 23 tahun ini sudah kedengaran di corong-corong radio membawakan lagu ciptaan sepenuh miliknya, Hujan Bunga Di Kuala Lumpur. Menyuntik aura cinta melalui lagu ini dengan imaginasi dan perasaan bunga-bunga mengintai seorang jejaka, itu adalah sifat Ana, penuh dengan mimpi-mimpi dan khayalan.

Hanya bermula dengan seorang pemimpi di siang hari dan masih kekal dengan sifat itu, Ana sudah berhasil menulis sekitar 30 buah lagu. Itu hasil dan impak dirinya yang banyak membaca buku cerita. Itu juga adalah amanat arwah kakak yang pernah menjadi pendorong setia jiwa seni Ana.


ANA banyak meraih inspirasi daripada seorang jejaka Jepun.


Lewat jatuh cinta

Lewat jatuh cinta dengan gitar, ia bukan alasan buat Ana untuk tidak meneruskan cita-citanya. Pada usia masih bergelar mahasiswi, dia yang sering berkumpul dengan kawan-kawan sambil menyanyi dan berlagu gitar menyedari bahawa instrumen itu bakal mewarnai lagi sajak-sajak yang ditulisnya. Lantas dalam hujan yang lebat dan duit yang dikongsi bersama teman, dia berlari mendapatkan Fortee 6, jolokan yang diberikan kepada gitar pertamanya yang dibeli di Petaling Jaya.

Bersatu dengan gitar milik sendiri, lagu pertama yang dilagukan berjudul Masih. "Saya menyanyi kali pertama di pentas untuk sebuah acara, Layar Tanchap yang diadakan di Shah Alam, melagukan lagu ciptaan sendiri. Secara serius pula pada acara Akustik Rantai di Annexxe, Pasar Budaya, Kuala Lumpur," ujarnya yang kala itu dalam debar campur teruja. Ungkap Ana lagi, antara faktor yang mencetuskan dirinya menyanyi sambil memetik gitar ialah temannya, seorang jejaka Jepun yang banyak memberinya inspirasi dan membawanya menonton konsert John Mayer di negara matahari terbit itu.

Bertemu Aidit Alfian

Jalan dengan hasrat yang tersimpan erat bagaikan sudah ditakdirkan apabila berlaku pertemuan dengan komposer Aidit Alfian yang menemui Ana di laman web YouTube. Nasihat yang disampaikan oleh komposer itu untuk terus berkarya antara azimat yang dipegang Ana hingga kini bergelar artis di bawah Aidit Alfian Records. Bersama Aidit, Ana mula meneroka pentas demi pentas. Lantas grup Marhaens ditubuhkan dengan anggotanya terdiri daripada Aidit Alfian, Andy FP, GG, Alfa Booty, Mie FP, Rumie Booty dan Iqbal mengiringi dan mengukuhkan lagi persembahan dan bunyi-bunyian muzik ciptaan Ana. Antara lagu yang sudah mendapat tempat di hati penggemar setianya termasuklah Tingkap Kaca, Ghost dan Mekanika.




"Perancangan kini sesudah keluar dengan single pertama, Hujan Bunga Di Kuala Lumpur ialah bagi menghasilkan album pula. Jika tiada aral melintang, bulan Januari depan, album saya akan muncul dengan enam buah lagu hasil ciptaan sendiri," tuturnya yang menyatakan darah seni itu sudah mengalir deras dalam setiap ahli keluarganya menerusi pelbagai cabang.

"Sejak dulu lagi saya tidak berasa pelik apabila melihat gadis bermain gitar. Tetapi dalam dunia seni tempatan, masih belum ramai lagi yang beraksi begitu dan saya mahu bergerak secara serius. Bukan hanya menyanyikan lagu-lagu saya, tetapi jauh di sudut hati, saya mahu memberikan lagu ciptaannya kepada penyanyi lain untuk dinyanyikan," ucapnya yang mengagumi M. Nasir sebagai komposer dan penyanyi.

"Setiap lagu yang saya tulis merupakan entiti kehidupan. Setiap lagu ada momen tersendiri. Saya mahu memperjuangkan muzik Melayu. Saya mahu khalayak berasa bangga dengan lagu-lagu dan bahasa kita," ujarnya yang manis berbaju kebaya hijau muda dan duduk bersila ketika ditemu ramah. - Sofiatul Shima Wan Chik


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=1018&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_03.htm

16.10.09

cubaan untuk berpuisi 3


Kau khabarkan padaku anganmu
Ku riwayatkan kisah dongengku
Kita kumpulkan kedua-dua cerita
dan pintalkannya menjadi satu

makin hari makin berjela
makin dikongsi makin menjadi
seutas tali berbentuk harapan
yang tak tersukat panjangnya

lalu ku belitkan satu hujung
kemas ke badanku
dan kau lilitkan satu lagi hujung
rapi ke badanmu
dan kita berputar
mengikut landasan tali itu

makin hari makin terjerat
makin berputar makin mendekat
hingga kita tiada ruang untuk lari
ke arah yang bertentangan

hakikatnya, walaupun kita ada dua impian yang berbeza, setelah dikongsi bersama, harus bergerak sekaki.

dikarang oleh ANH Raffali (© 2009 anaraffali muzik ent.)
3. 19 pm Rumah

9.10.09

Artis

Hari ni saya ada majlis rumah terbuka Utusan. Masih cuba menyesuaikan diri dengan persekitaran baru. Dikelilingi golongan media, artis dan wakil dari syarikat-syarikat yang bersangkut-paut dengan industri saya ni. Pssst.. kalau ikutkannya, saya pemalu dan gemuruh.. tapi saya cuba untuk rileks sket dan berbual dengan orang lain.

Konvo saya 18hb ni. Alhamdulillah, saya dapat tamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan TESL (Hons) dalam Kelas Pertama. Macam-macam yang saya lalui. Walaupun tak akan menjadi guru bahasa Inggeris di mana-mana sekolah dalam masa yang terdekat, saya percaya ilmu yang saya dapat selama ini menyuluh jalan saya sekarang, membantu saya mencapai matlamat saya sebagai seorang penyanyi-penggubah lagu yang hebat, InsyaAllah. ;)

Sebenarnya saya rasa pelik sangat nak gelar diri sendiri "artis" sekarang, inikan pula orang lain yang labelkan begitu. Tapi realitinya macam tu, memang saya dah pun jadi seorang "artis" rakaman dibawah Aidit Alfian Records. Nak lari macam mana? Memang ni yang saya nak buat, menyanyi dan menulis lagu, mengharapkan lagu-lagu saya dapat peluang bertempat di hati masyarakat umum, para marhaen. Jadi, nak tak nak saya kena biasakan diri, kuatkan semangat, berpegang pada janji saya nak berusaha sehabis boleh untuk keluarga dan kerja saya.

Yang penting kena jujur. Susah nak pisahkan kerjaya dengan hal peribadi kelak. Tapi, untuk yang membaca blog saya ni, harap awak biarkan lagu-lagu yang saya tulis bercakap bagi pihak saya. Ini bukan main-main. Ini bukan sekadar hobi. Ini namanya matlamat dan perjuangan hidup.

29.9.09

LIRIK: Bentes (fikiran yang jahat)

Bagai bumi diorbit bulan
dia sering diapit pasangannya
yang baru selepas aku
dalam diam ku melayan
fikiran yang jahat
sebab ku bencikan dia
mempermainkan aku

Harap kau akan bergaduh
dia lari jauh
aku ada untuk memangkah kakimu
lalu kau terjatuh
dan menjerit aduh ooh ooo ooh ooh
sakitnya aww aww aww

Bagai bintang yang makin pudar
cintaku lusuh bila ku dah sedar
dia bukan untuk diriku
bukan juga untuk sesiapapun yang mahu
cinta yang telus dan tulus
bukannya yang terhambur

Harap kau akan bergaduh
dia lari jauh
aku ada untuk memangkah kakimu
lalu kau terjatuh
dan menjerit aduh ooh ooo ooh ooh
sakitnya aww aww aww

Bagai meteor di ruang angkasa
jiwaku bebas dibuang olehnya
nasibku baik
aku dah celik
aku dah tahu
aku tak mahu
takkan terima
cinta penipu

Harap kau akan bergaduh
dia lari jauh
aku ada untuk memangkah kakimu
lalu kau terjatuh
dan menjerit aduh ooh ooo ooh ooh

Harap kau akan bergaduh
dia lari jauh
aku ada untuk memangkah kakimu
lalu kau terjatuh
dan menjerit aduh ooh ooo ooh ooh
sakitnya aww aww aww
sakitnya aww aww aww
sakitnya aww aww aww
padan muka hahaha

Lagu dan lirik oleh Ana Raffali (© 2009 anaraffali muzik ent.)

LIRIK: Wahai Pagi

Wahai pagi,
sengaja kau berlengah tiba.
Kau tahu ku mahu berjumpa dengannya.
Jadi pagi,
segeralah datang padaku,
bawa bersama dia yang sudah lama ku tunggu.

Jangan pula ada perkara
yang datang mengganggu.
Biarlah dia terus, lekas,
tertawan padaku.

Wahai langit,
sengaja kau bermasam muka.
Kau tahu ku mahu berbual dengannya.
Jadi langit,
sabarlah seketika waktu,
biarnya jalan perlahan-lahan berdamping denganku.

Jangan pula ada perkara
yang datang mengganggu.
Biarlah dia terus, lekas,
tertawan padaku.
Hari ini aku berdepan
dengan lautan harapan.
Ingin ku berenang ke seberang
mendakap senyuman.

Wahai hati,
sengaja kau tabur curiga.
Kau tahu ku mahu bercinta dengannya.
Jadi hati,
simpan sajalah rasa ragumu.
Beri peluang untukku tenang hadapi hariku.

Jangan pula ada perkara
yang datang mengganggu.
Biarlah dia terus, lekas,
tertawan padaku.
Hari ini aku berdepan
dengan lautan harapan.
Ingin ku berenang ke seberang
mendakap senyuman...
dia, dia, dia yang ku tunggu-tunggu
dia, dia, yang ku tunggu.

Lagu dan lirik oleh Ana Raffali (© 2008 anaraffali muzik ent.)

5.9.09

LIRIK: Tersilap

photo courtesy of aboutthelettera.com

TERSILAP


Sepatutnya begini, sayang

kau bohongi aku

takkan ku percayakan dirimu lagi.

Sepatutnya begini, sayang

kau kecewakanku

aku cari yang lain, penggantimu.

Tapi mengapa setiap jejaka

yang ku jumpa

tak mampu mengalahkan dirimu.


Sungguh ketara bila kau tiada

bayanganmu mengekoriku.

pada setiap gambar yang ku lihat

kau tersenyum, menyindir aku.

Mungkinkah aku tersilap

bila ku lepaskan engkau pergi?


Sepatutnya begini, sayang

kau ku tinggalkan

takkan ku menoleh ke belakang lagi.

Sepatutnya begini, sayang

kau tak ku endahkan

bila namamu dalam ungkapan orang.

Tapi mengapa setiap kalinya

kau ku jumpa

degupan jantungku tambah laju?


Sungguh ketara bila kau tiada

bayanganmu mengekoriku.

pada setiap gambar yang ku lihat

kau tersenyum, menyindir aku.

Mungkinkah belum terlewat

untukku pujuk engkau kembali?


Sungguh ketara bila kau tiada

sesalanku terus membuku.

pada setiap lagu yang ku tulis,

kau ketawa.

Mungkinkah ada caranya

untuk ku jelajah ruang masa?


Lagu dan lirik oleh Ana Raffali (© 2009 anaraffali muzik ent.)


NOTA: Saya pakai topi orang yang gila bayang (mungkin juga gila talak) masa tulis lagu ni. Cuba menggambarkan perasaan orang yang menyesal sebab tersilap dalam menduga sedalam mana dia perlukan kekasihnya.

Bila hubungan itu berakhir barulah dia sedar silapnya, dan dengan syok sendirinya melayan perasaan seolah-olah dia hero dalam sebuah filem komedi romantik. Berjayakah dia menawan hati kekasih lamanya kembali, setelah dihantui dengan bayang-bayang cinta yang tak pernah luput di benak fikiran, apatah lagi ruang hati yang merintih? :p

Saya kira, perasaan ni sangatlah berat sebelah. Macam mengada-adakan benda yang tak ada, menulis plot yang lain sebab jalan ceritanya sendiri cukup bosan. Padahal jelas, orang lagi satu tu nampak cukup bahagia dan tak pernah terfikir pun nak putarkan waktu. Haha..

Saya juga tulis lagu ini demi mengingatkan diri sendiri betapa bertuahnya saya dihargai orang yang bersama dengan saya sekarang. Jangan mudah putus asa ye sayang.


19.8.09

LIRIK: Hari-hari Hari Raya


Hari Raya lambat lagi
hatiku terasa rindu
ku terbayang warna-warni
baju kurung dan baju melayu

Aroma enak di dapur
melambai padaku
untukku tambah pada pinggan
berbalang-balang kuih
yang keras aku buat
dan ku tahu kau tetap akan makan

Paling penting pada Hari Raya
kita takkan bergaduh
kau simpan egomu
ku simpan egoku

Jika hari-hari Hari Raya
pasti kita akan lebih bahagia
tak perlu marah-marah pada dunia
jika hari-hari Hari Raya

Hari Raya belum sampai
dan kita baru saja bergaduh
cukup sukar nak berdamai
memang mudah untuk buat bodoh

Beraneka e-kad raya
melambai padaku
untuk ku isi dan hantarkan
dan diantaranya ada satu untukmu
kau buatku marah jadi ku batalkan

Hari-hari bukan Hari Raya
kita pasti bergaduh
kau tayang egomu
ku tayang egoku

Jika hari-hari Hari Raya
pasti kita kan lebih bahagia
tak perlu marah-marah pada dunia
jika hari-hari Hari Raya

Lagu dan Lirik oleh Ana Raffali (© 2009 anaraffali muzik ent.)

NOTA: Lagu paling baru yang saya tulis. Saksikan lagu ni pada hari raya pertama di 8TV Quickie. ;)

Hari yang perlahan

Terima kasih kepada yang sudi meluangkan masa menghantar soalan-soalan awak kat saya. Insya-Allah, poskad awak akan sampai dua-tiga hari lagi.


Malam ni saya ada sesi temuramah dengan Dina dan Haniff di Xfm. 103.00

Mungkin sebab tu saya rasa macam hari ni merangkak perlahan-lahan menguji saya. ;p

2.8.09

Saya tak minum kopi

Bukan penggemar kopi. Saya akan sentiasa pilih teh sebagai minuman panas rasmi. Mungkin saya tak suka kopi sebab rasanya pahit. Tapi kopi yang manis pun saya tak akan minum. Masa saya kecik saya ingat kopi tu minuman orang tua-tua (tahun-habis-sekolah ke atas). Saya pernah curi-curi hirup kopi orang yang mummy buat kat rumah. Saya buat kesimpulan saya tak nak jadi orang tua bila saya besar.

Dulu ada banyak benda yang saya tak faham tentang kopi. Entah macamana sedikit-sebanyak pengetahuan saya tentang kopi bertambah tiap-tiap tahun tanpa diusahakan. Seolah-olah ilmu itu memang tertulis di dalam buku pelan pengajian hidup saya. (Oleh itu, semestinya bukan lagi seolah-olah tetapi memang.) Sebagai contoh, masa darjah 4, kami diberi teks pemahaman tentang pemprosesan biji kopi. Menarik, cuma kekurangannya pada kegagalan untuk menjelaskan bagaimana biji kopi boleh bertukar menjadi gula-gula kopiko.

Dulu saya tak faham kenapa sesetengah orang perlu minum kopi hari-hari. Kemudian saya belajar tentang konsep kafein, ketagihan, kuiz pagi esok dan tak habis ulangkaji lagi malam ni dari kawan-kawan masa kat asrama. Ini merupakan satu fenomena tersendiri. Paling hebat, ada yang mampu (sanggup) meratah serbuk kopi '3 in 1' kerana terlalu 'sibuk' untuk memanaskan air. Saya memang kagum dengan kegigihan teman-teman saya ni. Macam ada magik pada kopi yang saya tak pernah rasa.

2 tahun lepas, masa di Roma dengan abang saya, Khalil, kami singgah di sebuah kafe yang telah disyorkan dalam buku panduan kami.


Kafe yang berusia 249 tahun itu amatlah terkenal dengan Ekspressonya. Jadi saya dan Khalil masing-masing minta "mai secawan" dalam bahasa Itali. Kami memang dah penat jalan seharian mencari tempat-tempat menarik di Roma. Kaki saya memang dah mula komplen.



Saya tak terkejut bila cawan yang sampai sangatlah kecil dibandingkan dengan kopi yang selalu saya lihat orang minum di gerai-gerai kat rumah. Yang saya terkejutnya ialah apabila kopi itali yang kami minum tu mula buat kami rasa... bes semacam.



Saya memang tak suka kopi, tapi pada hari yang bersejarah itu, di kafe yang bersejarah itu, kami gelak suka hati macam orang yang menang loteri. Dan bila kami melangkah keluar dari kafe tu, kami rasa macam kami boleh langkah beribu-ribu batu lagi. Mungkin ada benda lain yang mereka letak dalam minuman kami, Tuhan saja yang tahu. Hehe..



Ni lah namanya orang yang jakun terhadap benda baru. Kesimpulannya, kita tak akan tahu sehinggalah kita mencuba. Walaupun ada benda-benda kat dunia ni yang kita tak perlu tahu dan kita tak patut cuba, nasib baik kopi bukan benda-benda itu.

Saya masih tak suka kopi. Saya tak hanya basahkan tekak saya dengannya, saya teguk sampai habis. Saya mengalaminya. Mengalami sesuatu dengan dalam dan sehabisnya belum tentu boleh suka dan lekat padanya, inikan pula mengalaminya dengan ringan dan sekadar cuba rasa.

Dahagala pulak.

29.7.09

LIRIK: Hujan Bunga di Kuala Lumpur (HBKL)

original photo courtesy of aboutthelettera.com


Ramalan kaji cuaca kata
aku kan jatuh cinta
tapi tak pula beritahu dengan siapa.
Lalu hari ini ku berlari
mencari-cari
si dia yang bakal
miliki hati ini.

Mungkin dia ada disitu,
tersenyum padaku,
namun malu-malu.

Hujan bunga di Kuala Lumpur
kini sudah tiada masa
untuk mencari payung
berteduh kita bawah surat khabar
lalu terbaca berita kata
hujan ini tak akan reda.

Ikut rasa ingin sahaja
aku hampirinya
tapi ku takut apa pula kata semua.
Bukan senang untuk
ku meluangkan masa ini
sekadar peluang mengisi
ruang kosong hati.

Mungkin dia ada disitu,
tersenyum padaku,
namun malu-malu.

Hujan bunga di Kuala Lumpur
kini sudah tiada masa
untuk mencari payung
berteduh kita bawah surat khabar
lalu terbaca berita kata
hujan ini tak akan reda.

Lagu dan lirik oleh Ana Raffali (© 2007 anaraffali muzik ent.)

NOTA: Hari ni saya dapat tahu HBKL dah ada caller ringtone. Untuk pelanggan Maxis dan Digi. Wow.. Terima kasih banyak-banyak untuk mereka yang beli servis ni. Terima kasih kerana sudi bawa hujan bunga di tempat masing-masing. ;) Bagi pelanggan Celcom, sila tunggu ada seprais dari kami ye.

Mungkin seharusnya, bila kita rasa sebak, sedih, marah, kecewa, penat, rindu yang buat kita rasa nak nangis, kita diingatkan bahawa masa tak perlu berhenti dengan rasa yang menyakitkan hati. Ramalan tak semestinya berlaku, tapi ia membawa secebis harapan. Harapan itu cukup untuk menggerakkan kita untuk terus berlari dan mencari pelengkap hidup masing-masing.

Hujan bunga bagi saya adalah satu harapan yang indah. Realitinya sukar, tapi cuba layarkan angan bahawa suatu hari nanti bila kita bertemu dengan kismet masing-masing, akan turun hujan bunga dari langit terus ke hati. Dan bahagia bukan lagi satu perkataan yang seringkali didengar tapi tak dirasa. Insya-Allah, saya percaya hujan rahmat itu tak akan reda.

*kismet itu untung nasib. Saya sedang menulis lagu tentang kismet di dalam kepala. ;)


28.7.09

Poskad

Satu hari kemas bilik. Bukan sebab sepah sangat (ehem), tapi selalu terjebak dengan barang lama. Nostalgia sungguh.

Sebenarnya saya suka kumpul poskad dari tempat-tempat yang saya pernah lawati. Dulu saya tampal kat dinding. Tapi sekarang macam terlalu banyak sangat untuk ditampal.

Saya bercadang untuk bagi poskad-poskad saya yang lebih. Kalau nak sekeping, hantarkan nama dan alamat awak ke saya(at)anaraffali(dot)com. Pastikan subjeknye: Poskad. Sila sertakan satu soalan trivia untuk saya jawab demi mengisi tempat kosong.

Pembahagian poskad adalah secara rawak dan menggunakan sistem siapa-cepat-dia-dapat.

Okey, selamat menulis!

26.7.09

Baju kurung

Ramai orang tanya "konsep saya dan baju kurung/kebaya".

Saya suka sebab selesa. Dan kalau potongan dan coraknya baik, cukup cantik.

Masa saya di universiti, saya lebih gemar pakai baju kurung ke kuliah. Pertama, saya malas cari pasal dengan pihak pengawal tentang etika permakaian. Kedua, dari zaman awal remaja lagi, saya lebih suka berbelanja duit yang abah bagi untuk buku daripada baju baru. Jadi koleksi baju kurung saya adalah dari himpunan baju raya yang mummy akan pastikan saya ada tiap-tiap tahun.

Pernah satu kali saya tak terfikir pun untuk cari baju raya, tengok-tengok kak Sue ada tersalah potong baju kebaya warna hijau tua dan arwah kak Ima kata bagi Ana pakai sebab dia kecik. Ehem.. Dah lebih 6 tahun dah kak Ima takde. Kebaya tu masih saya pakai, walaupun badan dah makin berisi. ;)

Mungkin ramai yang tertanya-tanya sejak bila saya mula naik pentas dengan gitar dan baju kurung. Saya mula main gitar masa semester terakhir pra-ijazah TESL di UiTM Bukit Sekilau, Kuantan. Belajar sendiri tengok buku chords dan cuba tiru. Saya memang kurang sabar, takde siapa-siapapun yang boleh luangkan masa untuk ajar saya main apa-apa lagu sampai mahir, Jadi saya pun tulis lagu sendiri dengan chords yang saya tahu masa tu. Akhirnya saya ada jugak lagu-lagu yang saya boleh main dengan gitar. Makin lama, makin biasa, makin seronok, makin suka.

Bila kawan-kawan saya tahu saya reti main gitar (walaupun sikit-sikit) dan saya buat lagu sendiri (walaupun sikit-sikit), rajinlah mereka suruh saya buat persembahan di majlis-majlis rasmi anjuran universiti. Kebetulanlah saya memang takde baju rasmi lain selain baju kurung untuk dipakai ke majlis-majlis tersebut. Jadi secara semulajadi saya akan membuat persembahan dengan baju kurung.

Tapi bila saya mula serius dengan muzik, dan lebih banyak lagu telah saya tulis. Saya terpanggil ke layar tanchap. Setelah beberapa kali, saya perasan warga di belakang tabir layar tanchap gemar berbaju melayu dan bersamping. Saya suka konsepnya. Jadi satu hari saya nyanyi dengan main gitar dengan baju kurung. Bukan rasa bes atau seronok sangat ke apa, rasa sangat biasa, rasa semulajadinya selesa, dan saya tak terfikir lebihpun daripada itu.

Dan bermulalah perjalanan saya bermain gitar berbaju kurung/kebaya. Bukannya pelik sangat bagi saya. Mungkin sebab saya dah biasa. Saya memang membesar dengan baju-baju kurung, t-shirt biasa-biasa, jeans yang tak mahal, sandals tahan lama. Menjadi sebahagian dari diri saya.

Saya pun orang yang biasa-biasa. Bertuah kerana dilahirkan dalam keluarga En. Raffali dari Negeri Sembilan dan Puan Halijah dari Pahang, membesar dengan 10 orang adik-beradik lain di Kuala Lumpur. Kami selalu bergurau dan bergaduh, seronok kan? Saya sayang mereka semua sebab merekalah saya macam ni, dan saya tak akan mintak lebih daripada ini. (Cuma harap-harap; akan lebih terel main lagu orang lain jugak.)

Kadang-kadang saya tanya diri saya, kenapa nak lalu jalan ni? Dah layak jadi cikgu, pensyarah pun tak jauh, kenapa nak perjuangkan muzik? Tentunya sebab saya minat muzik, saya serius dengan apa yang saya buat dan saya rasa saya mampu menulis lagu-lagu yang baik.

Tapi malam ni saya sedar, sayang saya pada keluarga saya menggerakkan saya ke jalan ni. Memang saya suka menulis lagu, tapi suka tak cukup untuk buat hati dan jiwa saya kenyang. Saya nak tengok mummy dan abah senang hati. Saya nak lengkapkan hidup keluarga saya. Sebab tu walaupun susah, saya nak buktikan sebenarnya bukan kebetulan saya suka main gitar dan buat lagu, bukan kebetulan awak dengar lagu-lagu saya dan suka, bukan kebetulan awak baca blog saya ni dan sedar di mana saya letakkan kepentingan saya.

Allah maha pengasih, maha penyayang. Saya tak ingat rupa baju kurung pertama saya, tapi saya akan ingat sampai bila-bila, siapa yang belikan dan siapa yang pakaikan pada saya.

10.6.09

cubaan untuk berpuisi 2

simpan

senyap
jangan kau susun
kata-kata penamat
jangan kau sebut
baris ayat keramat
yang kau peram
hingga mencuka
biar lenyap
diserap sunyi
simpankan

tolong
ingatkan aku
sekali lagi
kisah kau tersedar
dengan saku
penyeluk masa
bagaimana kau
dampingi aku
setiap detik
jantungku berdetak
setiap nota
jiwaku berlagu
setiap mimpi
malamku seret

aku terlupa

ayuh
kita mengemas
mari aku bersihkan
papan markah
kau pula padamkan
buku tiga lima
biar yang menang
yang kaya raya
hanya kau dan aku
dan kita juga

dikarang oleh ANH Raffali (© 2009 anaraffali muzik ent.)

8.6.09

LIRIK: Masih

Masih (2.0)




Bila cinta mula menyepi
inginkan jalan mudah
dan kisah kita diakhiri
satu hati terpisah

namun kini
ku masih sayang padamu
walau kau telah
mungkirkan segala
dan aku masih terkenangkanmu
walau kau telah
lupa kisah kita
ku sayang padamu

keraguan yang kau timbulkan
kau biarkan tertanam
sehingga aku kau pinggirkan
untuk mengejar semalam

namun kini
ku masih sayang padamu
walau kau telah
mungkirkan segala
dan aku masih terkenangkanmu
walau kau telah
lupa kisah kita
ku sayang padamu

Lagu dan lirik oleh Ana Raffali (© 2004-2005 anaraffali muzik ent.)

NOTA: Antara lagu terawal yang saya tulis bila mula-mula main gitar. Masa tu kawan saya Ima baru putus cinta, saya sedang main gitar sambil menyanyikan "aku masih sayang padamu...". Dia terus kata nak tuliskan lirik. Kami bekerjasama; berikut adalah lirik asal yang saya ingat-ingat lupa. (Setelah mencarigali, terjumpa buku nota lama saya yang tertulis lagu-lagu lama.)

aku seringkali bertanya
siapakah diriku
berbanding dengan dirinya
aku ingin tahu

kerana
aku masih sayang padamu
walau kau telah menolak cintaku
namun ku masih percayakanmu
walau kau telah lukakan hatiku
ku sayang padamu

Sayangku kembalilah padaku
jika kau dilukai
kerana ku masih disini
kau masih dihatiku

Lagu: Ana Raffali
Lirik: Azima Aziz & Ana Raffali

Saya membuat keputusan untuk menulis semula liriknya setahun kemudian.

Kenapa?

Asalnya lagu masih adalah mengenai apa yang Ima lalui. Bila giliran saya berhadapan dengan keadaan sedemikian, tergerak untuk menceritakan kisah saya dan "dia" pula. Bagi saya, hampir kesemua lagu-lagu yang saya tulis (kalau tak berpegang) bagaikan bersentuhan dengan apa yang saya alami, menyerap dan bercambah menjadi entiti lain.

Saya hanya tahu menceritakan apa yang saya rasa atau mampu rasa, langsung tak ingin jadi orang lain selain dari diri saya sendiri. Tapi kadangkala hanya ikut naluri yang memegang watak dan melakar wajah.

Jadi masih yang baru adalah watak saya sebagai seorang yang pernah bercinta dan masih sayang, bukan mahukan "dia" kembali, cuma mahu mengakui apa yang benar, agar tak hidup dalam penafian.

Kenapa kena cakap?

Daripada simpan sesuatu yang hanya akan makan dalam, lebih baik jujur dengan diri sendiri. Lagipun, sayang itu adalah satu perasaan semulajadi yang indah. Kita belajar dari kecil untuk "sayang mama sayang papa, selamat malam". Kenapa perlu sorok. Saya sayang mummy dan abah, keluarga saya, kawan karib dan kawan-kawan saya, kucing saya, geng marhaens, kaum kerabat geng marhaens, dan awak yang sedang baca ni pun saya sayang jugak tau tak?

Berkasih sayang sesama insan itu tak salah, cuma jangan jadikannya satu permainan. Kena pulak ada orang yang menang dan ada orang yang kalah. Tak bes.

5.6.09

LIRIK: Renunganmu

Renunganmu

Bunyi berdering-dering
berhenti sekejap dan sambung
berulang-ulang kali
ku buat-buat
aku tak peduli

Heret kaki ke dapur
selongkar almari
meratah milo
tiba-tiba teringat
kau yang gemarkan coklat
dan lidahku merasa pasir

korus:
kau buatku marah
seketika saja
ku marah
dengan diriku yang lemah
dengan renunganmu
dan bilaku rajuk
seketika saja
kau pujuk
terus hatiku jadi sejuk
dengan renunganmu

Duduk di atas sofa
menonton pasangan kekasih
bergurau-gurau manja
dan nyaris-nyaris
tv aku pecah

Heret kaki ke bilik
selongkar komputer
mencari foto
kita yang kau terambil
dengan mataku terjegil
dan bibirmu melengkung manis

ulang korus

Bunyi berdering-dering
berhenti sekejap dan sambung
berulang-ulang kali
kau buat-buat
engkau tak peduli.

Lagu dan lirik oleh Ana Raffali (© 2009 anaraffali muzik ent.)

NOTA: Di dalam mood untuk bergurau barangkali. Cuba untuk menulis lagu yang mempunyai deskripsi persekitaran luar yang tak pernah digunakan sebelum ini dalam penulisan sendiri. Abah menjenguk di jendela, dan berbual tentang lagu balada di radio yang dia suka. "Abah tahu kau boleh buat lagu. Macam lagu yang abah suka tu, smallhearts tu." Baik abah, nanti Ana tulis. (Ketika ini, dia sedang menggoreng telur goreng garing untuk saya. Ye, saya makan suap.)

3.6.09

cubaan untuk berpuisi

Atas cadangan En. Sufian Abas.

Haiku I

Diam berdiri
di tengah-tengah bilik
minta dipetik.

Kayu bercermin
bayang aku yang jelas
menjadi subjek.

Tangan menghulur
tapi tak dapat capai
jauhlah pulak.

Mengerling kanan
malas tewaskan rindu
mengeluh kecil.

Maaf Woodieku
kan ku belai kau lepas
ku jumpa rajin.

dikarang oleh ANH Raffali (© 2009 anaraffali muzik ent.)
1. 29 pm Rumah

Terima kasih HBJ: 3V

Terima kasih HBJ: 3V. Saya suka. ;)

Tak sabar nak tengok video, harap-harap teman-teman cepat-cepat upload-upload.

29.5.09

3 VENUS

Terima kasih buat mereka yang berhajat untuk melihat kami bertiga (+ dll) di Annexe, Ahad ni. Terharu rasanya. Wani memang hebat. Tengahari tu saya ingatkan kami cuma berangan kosong. Tapi, rupa-rupanya dia serius.

Saya gubah melodi di kepala, dan bermain-main dengan bunyi gitar. Terus dirakam. Tak lama lepas tu, Wani kata dia dah siapkan liriknya. Dasyat! Kemudian, Fynn mendengar dan bercerita, menyimpulkan hasrat kami semua dengan lunak suaranya. Macam bercinta. Haha.. Jodoh kami, mungkin.

photo courtesy of aboutthelettera.com

Saya benar-benar harap, persembahan kali ini bes. Sayangnye, abang Aidit dan geng Marhaens (kecuali si Iqbal) tak dapat temankan. Tanggungjawab saya kali ni sangat besar.

Saya dah buat keputusan untuk memainkan lagu-lagu yang tak pernah saya persembahkan di khalayak ramai. Berikut adalah setlistnye;

1) Mekanika
2) Ketika (aku kecil)
3) Cuba Jangan

4) Kek Merah
5) Small Hearts
6) Paint Me

Saya harap anda semua akan pulang dengan senyuman di bibir, dan lagu-lagu di hati. Saya harap Wani dapat lupakan beban-beban kerjanya dan menyanyi dengan jiwa yang tenang. Saya harap Fynn cepat sembuh supaya kami dapat dengar suaranya yang menyentap jantung. Saya harap saya tak hampakan bigboss dan puan manager, kawan karib, kawan-kawan baik, geng Marhaens, geng Ana Raffali dan lain-lain.

Terima kasih kerana menyokong kami!

22.5.09

KAMI (1982)

Baru habis tengok KAMI (DIN+TOOKOO) di TV2. Mungkin filem Malaysia yang paling saya gemari, antara sebabnya; Allahyarham Sudirman. Tak tahu kenapa, mata saya rasa panas, pipi saya basah, hidung tersumbat. Sebak. Dah lama saya tak dengar lagu Sudirman. Lupa.

Masa saya kecil, saya suka gila Sudirman. Kalau ada videoklipnya kuar kat TV, saya akan berangan yang kononnya saya "backup dancer"nya. Menari-nari bagai reti. Pelik... kenapa bila dah besar, diri keras dan kaku. Pokok pun lagi pandai bergoyang dari saya.

Saya membesar dengan lagu Sudirman. Bila hujan, saya nyanyi lagu "Hujan". Bila raya nak dekat, nyanyi lagu "Balik Kampung". Bila rasa emo semacam, keluarlah lagu "Merisik Khabar". Lagu-lagunya sungguh sedap di dengar. Beliau sebagai seorang artis tiada tandingannya menghidupkan lagu yang dibawa. Mungkin tak dapat dijelaskan dengan kata-kata, dengarkan dan rasa sendiri.

Saya mengaku, Sudirman merupakan antara sebab saya menghargai lagu dan senikata tempatan. Lagu-lagu melayu kita yang terdahulu cukup kaya dengan bahasa dan melodi yang mengasyikan, menggoda dan membelai. Para penulis lagu, baik komposer dan penulis lirik dululah yang memastikan nafas industri muzik kita tak pernah putus. Sehinggakan penyanyi-penyanyi tempatan seperti Allahyarham dapat menjiwai lagu-lagu tersebut dan menyampaikannya dengan penuh merdu.

Kombinasi berkat dari usaha penyanyi, komposer, penulis lirik, penggubah muzik, pemuzik, jurutera bunyi, penerbit, dan lain-lain inilah yang menjadikan sesuatu lagu itu berjiwa. Saya harus berterima kasih kepada mereka yang bertanggungjawab, membantu saya mengenal apa itu lagu dan irama, puisi dan senikata. Terlebih lagi yang telah pergi tapi masih bernyawa dalam lagu yang tercipta sesuai untuk dinyanyikan sekarang dan sampai bila-bila.

Al-Fatihah.

NOTA: Mummy kata masa saya baby dan kami balik kampung untuk raya, Allahyarham Sudir dukung saya dan berikan saya kucupan di dahi. Mungkin ini cinta pandang pertama?

16.5.09

LIRIK: Cuba Jangan



Cuba Jangan

kau suruh ku masak sedap-sedap
agar ibumu setuju
aku turutkan saja.
ku bergelut dengan sayur, ikan
yang namanya ku tak tahu
hingga akhirnya ku capai telefon
untuk panggil bomba.

aku bukan yang terbaik
tapi ku cuba
ku cuba
hanya satu yang ku pinta
agar kau cuba
kau cuba

jangan suruh aku jadi seperti dia
aku tak mahu walau ku daya
kalau tak nak
usah bilang kau nak
biar aku jadi seperti aku
bukannya susah untuk mengaku
ada sebab kau tinggalkan dia

kau suruh ku make-up lawa-lawa
agar temanmu cemburu
aku tepekkan segala.
ku bergaduh dengan bedak, gincu
yang tak serasi dengan ku
hingga akhirnya kau temankan aku
ke klinik pakar.

aku bukan yang terbaik
tapi ku cuba
ku cuba
hanya satu yang ku pinta
agar kau cuba
kau cuba

jangan suruh aku jadi seperti dia
aku tak mahu walau ku daya
kalau tak nak
usah bilang kau nak
biar aku jadi seperti aku
bukannya susah untuk mengaku
ada sebab kau memilih aku

mana mungkin ku kan terima
jadi bayang-bayang dirinya
dan berhenti menjadi aku.

jangan suruh aku jadi seperti dia
aku tak mahu walau ku daya
kalau tak nak
usah bilang kau nak
biar aku jadi seperti aku
bukannya susah untuk mengaku
ada sebab kau memilih aku

Lagu dan lirik oleh Ana Raffali (© 2009 anaraffali muzik ent.)

3.5.09

SUBJEK: JELAJAH UNIVERSITI/KOLEJ

Final Projek dah siap!

Ya.. saya sangat hepi. Sekarang dah takde alasan untuk tak fokus kat kerjaya pilihan saya; penyanyi-penggubah (singer-songwriter).

Antara agendanya;

1) Single HBKL
2) Secret Gig
3) Hari Bintang Jatuh; 3 Venus

Minggu lepas saya berkesempatan bertemu dengan warga MMU Melaka dan KLIUC. Kedua-duanya merupakan pengalaman yang cukup indah bagi saya kerana ada diantara yang hadir memang mengikuti perkembangan saya secara online. Saya rasa terharu bila ada yang datang berjumpa dengan saya untuk bertegur sapa dan merakam gambar. (Terima kasih kerana sudi bergambar ye!) Kalau boleh saya nak jumpa dengan semua yang sedang membaca catatan saya ini.

Oleh itu, dengan mendapat lampu hijau dari encik big boss dan puan manager, kami dengan ini sedia menerima sebarang jemputan membuat persembahan dari mana-mana pihak penganjur yang terdiri daripada pelajar dari kelab atau persatuan universiti/kolej masing-masing. Saya dan the Marhaens akan cuba menyerikan majlis anda sekiranya anda dapat menyediakan duit minyak dan makan (serta tempat penginapan jika perlu) yang secukupnya untuk kami beraksi dengan selesa (saya akan cuba diet). Yang selainnya ditanggung beres!

Sila emailkan jemputan anda dalam format berikut;

SUBJEK: (Nama Universiti/Kolej)

Nama Wakil:
No Tel:
Penganjur:
Universiti/Kolej:
Tujuan Majlis:
Tarikh Majlis:

Emelkan ke; saya(at)anaraffali(dot)com

Jom!

22.4.09

Ayuh Pasukan Jalanan!

Tengahari tadi saya telah melancarkan satu misi untuk pasukan jalanan (street team) saya di ReverbNation. Misi pertama kami adalah menyebarkan lagu-lagu saya di serata pelusuk internet. Jeng jeng jeng... Haha..

Hadiah berbentuk satu dvd Ana Raffali l.i.v.e.01 dan ais-krim yang akan saya belanja di gig seterusnya.


Misi akan berlangsung dari 22 April 2009 hingga 22 May 2009.

Cara-caranya adalah;

1) Anda sertai ahli pasukan jalanan.


Ana%20Raffali
Quantcast
2) Anda pergi ke website ke blog ke bulletin ke tempat nak letak komen ke.

3) Anda copy/paste yang di bawah ini, di situ dan di mana-mana.


Ana%20RaffaliQuantcast

4) Anda rujuk ranking di HQ pasukan jalanan untuk ketahui prestasi ahli-ahli pasukan.

Seronok pulak ada misi-misi eksklusif macam ni. Haha.. Selamat maju jaya!


Tadi saya ada buat voice-over/acting/recording di satu studio dimana Search sedang praktis. Bila dah masuk dalam kereta dan dah nak keluar dari tempat parking, saya perasan seseorang muka macam kenal betul. Abah bagai menyahut kata hati saya. "Tu Amy la tu." Dia tengah bersantai di tepi tembok. Terkejut. Sungguh. Tangan melambai secara automatik. Dia senyum balik. Waaaaahhhh...

Singgah di rumah kk, ambil stok cite baru untuk abah. Malam-malam abah suka jenguk saya di tingkap (tingkap saya ke dalam rumah bukan ke luar) dengan mata penuh harapan. Walaupun dia suka tanya khabar tentang projek saya, saya tahu dia nak saya tanya kk tentang perkembangan terkini di stesen tv amerika. Pastu dia masuk bilik belakang dan layan siri/jam yang terkini untuk kali yang ke-3 sebelum stok baru dah sedia.

Sampai di rumah, saya diberitahu oleh mummy yang saya telah 30 saat lambat untuk melihat diri sendiri di kaca tv. Saya telah melakonkan watak Cik Rima untuk Roda-Roda KL, dimana saya adalah pembeli lesen terbang yang suka marah-marah serta kaki repot. Scene saya tak lebih dari 3 minit, makeup punya tebal, satu take sekaliharung. Tak sempat pun nak merasa oscar moment.

Aduhai... teringin jugak nak tengok sebenarnya, yelah manalah tahu boleh sahkan mitos muka Lisa Surihani macam muka saya dan bukan sebaliknya. ;p

18.4.09

LIRIK: Ketika (aku kecil)


ketika aku kecil aku pernah percaya
ramlee puteh hidup di dunia hitam putih
purnama sengaja mengekoriku
kemana ku pergi
hujan adalah waktu
keluar bermain

tapi bila ku dewasa sukar untuk ku percaya
apa yang ada di depan mata
bila dia membisikkan
aku adalah pilihan
hatinya yang pertama
dan terakhir

ketika aku kecil aku pernah percaya
pada suatu hari putera ku kan tiba
bintang-bintang adalah lampu limpah
bila kami menari
angin membawa kelopak sakura
turun ke bumi

tapi bila ku dewasa sukar untuk ku percaya
cinta di dalam tapak tangannya
bila dia menghulurkan
ia kepadaku dengan
matanya yang bersinar
dan berair

ketika aku masih kenal rupa cinta
datang seseorang yang mengubah segala
makin hari makin kulihat hatiku makin mengecil
lalu kusimpannya di dalam kotak kasut bawah katil

wajarkah aku berdepan
dengan sesuatu pilihan
yang tak berani aku putuskan?
mana perlu lebih bimbang
antara kisah berulang
atau dia berundur dan menghilang?

Lagu dan lirik oleh Ana Raffali (© 2009 anaraffali muzik)

NOTA: Lagu paling baru yang sempat saya siapkan hari ni, sambil buat kerja sekolah. Sila lihat di ReverbNation untuk rakaman kasar lagu ini. ;)

16.4.09

Air Kosong Berbual Kosong


Semalam saya dan teman-dalam-jenayah(partner-in-crime bukan kawan karib) telah melakukan satu eksperimen penting dengan air. Tujuannya ialah untuk membuktikan kebenaran teori air bertindakbalas dengan kata-kata samaada positif atau negatif.

Ringkaskan cerita; kami amik 2 gelas (cawan plastik) air yang dilabelkan dengan :( dan :)

Saya ditugaskan dengan :(

:(

Saya suka air. Cukup sukar untuk mengeluarkan kata-kata kesat dan maki hamun ke arah gelas tu. Permohonan untuk membuat pertukaran telah ditolak sebelum sempat membuka mulut. Ya, TDJ amat hebat mengesan benda-benda macam tu. Terpaksalah saya kuatkan semangat demi sains(atau spiritual, mungkin).

Saya pasti gelas :) telah mendapat kata-kata positif yang secukupnya dari TDJ yang cukup terkenal dengan kesabarannya melayan kerenah orang-orang yang berfikiran negatif. Kami masukkan gelas-gelas kami ke dalam peti ais dan masuk tido.


Keesokkan harinya;

Buka peti ais, jenguk gelas2 dan tangkap gambar. Berikut adalah hasil-hasilnya.


Apa yang telah saya lakukan?!! :(

Dapatkah anda lihat perbezaannya? :)

Bagi mereka yang kurang mahir dalam aspek visual (saya khuatir ada di kalangan kita yang macam tu, tapi jikalau ada sesat sorang dua kat sini), ais dalam gelas pertama mengandungi garisan-garisan tak sekata, berkecamuk, seolah-olah molekul-molekul air sebelum dipejalkan tak dapat duduk diam. Seperti kita sendiri bila kena marah, mesti bengang tak puas-hati kan? Mesti nak memberontak kan?

Tapi, gelas kedua yang menerima layanan istimewa dari TDJ mencerminkan rupa yang lebih tenang. Mungkin tiap-tiap molekul air mengambil tempat masing-masing dengan elok. Tak berebut tempat, tak hilang arah, jaga sedia. Kurang (mungkin tiada langsung) garisan-garisan seperti gelas sebelumnya. Telus, tulus, mulus. Agak ketara.

Kesimpulannya, tuan-tuan dan puan-puan ialah eksperimen ini wajar dilakukan sendiri di rumah. Seronok, macam zaman-zaman PEKA dulu! Haha..

Kita perlukan air untuk hidup. Tak perlu saya bersyarah mengenai kepentingan air. Kita memang pun digalakkan minum air zam zam, yasin dan sebagainya. Minum air yang suci dan tulen (fuuh.. spritzer). Badan manusia itu sendiri terdiri dari 70% air bukan? Satu persoalan ditimbulkan oleh penasihat eksperimen(PE) kami. PE kata bagaimana jika kita dapat membekukan manusia seperti eksperimen di atas? Haha.. Aiskrim manusia. Eeeee....

Memahami bahawa kebarangkalian air bertindakbalas dengan apa yang kita kata itu tinggi, jadi elok-eloklah kita bercakap sesama sendiri. Tak gunanya bertukar cas-cas negatif dan bertikam lidah bila rasa tak puas hati dengan orang tu. Dan yang paling penting, sentiasalah bercakap dengan diri sendiri dengan nada yang lembut dan intonasi yang mengasyikkan. Kalau bukan kita sendiri yang memujuk diri, siapa lagi yang reti?

Dah, dah.. saya kan ada.


P/S: Terima kasih geng yang sudah mendaftar untuk gig rahsia. Sedang berbincang dengan big bos. ;)

10.4.09

Gig Rahsia


Ana%20Raffali
Quantcast

Saya rancang untuk menganjurkan satu show kecil sempena saya menamatkan pembelajaran ijazah saya di UiTM. Lebih kurang parti graduasi. Hehe... Siapa yang berminat untuk sertai sila tinggalkan alamat emel anda.

Lokasi dan tarikh akan bergantung pada mesyuarat agung 50 orang yang terawal memberi respon. Terima kasih. ;)

6.4.09

LIRIK: Sepasang Sudu

Masa pun berlalu
dan kita tak mahu
bangun dan pergi dari situ
Kau pandang aku
Ku pandang bawah
kerana ku takut wajahku berubah

Sepasang sudu di atas pinggan
bersua dan menari bersama
Sepasang gelas terisi air
diangkat dan diteguk malas

Mengapa kita terdiam sahaja
sedangkan kita mahu yang serupa

Masa pun berlalu
dan kita tak mahu
bangun dan pergi dari situ
Kau pandang aku
Ku pandang bawah
kerana ku takut wajahku berubah

Masa pun berlalu
dan kita tak mahu
kenangkan luka dahulu
Kau pandang aku
Ku pandang depan
kerana ku mahu berikan
jawapan

Sepasang pemimpi penuh harapan
berkongsi dan memberi tepukan
sepasang hati diam berbekas
menyanyi dan berlagu merdu

Mengapa kita terdiam sahaja
sedangkan kita mahu yang serupa

Masa pun berlalu
dan kita tak mahu
bangun dan pergi dari situ
Kau pandang aku
Ku pandang bawah
kerana ku takut wajahku berubah

Masa pun berlalu
dan kita tak mahu
kenangkan luka dahulu
Kau pandang aku
Ku pandang depan
kerana ku mahu berikan
jawapan

Lagu dan lirik oleh Ana Raffali (© 2007-2009 anaraffali muzik)

[Lagu lama yang baru nak dikeluarkan. Rakaman ini turut menampilkan Cik Wani sebagai suara kedua dan telah dimuat-naik di ReverbNation.]

Borders tanpa sempadan

Rasa memang lain. Sangat-sangat lain.


1) Penonton adalah pendengar dan pemerhati, bukan pemakan, peminum atau pebual-bual kosong untuk mengisi masa lapang. Pasti konsentrasi mereka pada pentas. Terang-benderang, saya dapat lihat mata mereka merenung tepat ke arah saya. Kadang-kadang terasa sedikit gementar, nasib baik laluan cabut lari telah diblok oleh sidang hadirin.


2) Pemandangan 90 darjah. Tak cukup di hadapan, ada juga yang berdiri dan mendengar di sebelah kiri pentas. (Tapi tak boleh nak calen Maskara 13 180 darjah). Senaman kepala.


3) Lagu-lagu saya menyelit di celah-celah buku buku buku dan buku. Jika kami takde rancangan lain petang itu, mesti saya dah lama berkhemah dalam kedai buku.



4) DVD bootleg Ana Raffali l.i.v.e.01 yang dibawa kak Zaza habis dijual. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk cakap terima kasih kepada Kashfir, Nabila, Zarith, Wan (D'Blind), Kematz, dan yang lain-lain kerana sudi membeli. ;)

Petang tu saya, kawan karib dan Wani Ardy bergegas ke Nilai untuk berjumpa Fynn dan geng. Saya, Wani dan Fynn akan tampil dengan sebuah lagu baru, istimewa kami rakamkan untuk acara di bawah;



fotografi oleh aboutthelettera.com

Kurang sabar.

1.4.09

Bakawali


Mummy ada tanam bunga bakawali. Kali ni ada 3 kuntum, masing-masing mekar tiga hari lepas berturut-turut, tepat 12 malam. Ish... berbelit pulak. Setiap kuntum mekar penuh tepat 12 malam, 3 kuntum, 3 malam. Keesokkan paginya dah layu.

Bakawali hanya mekar untuk beberapa jam. Keindahan yang sementara, yang dipinjamkan. Terasa macam nak potong pastu simpan dalam kamus websters merah tebal sebelum dia layu. Tapi tak sampai hati. Jadi, tengok jelah elok-elok sambil amik gambar(sambil mintak kawan karib amik gambar).


Satu survey rawak ringkas, sila komen:

1) Bunga kegemaran?
2) Kenapa?

Saje nak tahu. ;)

28.3.09

040409 Borders Bookstore Berjaya Times Square


Antara banyak-banyak fantasi saya sebagai singer-songwriter(penyanyi-penulis ke terma nye?) ialah untuk mempersembahkan lagu-lagu saya di kedai buku. Memikirkan tentang lagu-lagu yang saya sampaikan berlegar-legar dan berkongsi ruang dengan ribuan cerita-cerita di situ, ahhh... besnye...

2) Saya ketagih air mineral Spritzer. Kalau nampak mesti beli, mesti minum. Saya diberitahu ia suatu penyakit yang sihat.

27.3.09

Sibuk , sibuk, sibuk

Mungkin saya patut mintak maaf kat 29 orang pengikut blog ini sebab saya menyembunyikan diri terlalu lama kiranya. Maaf ye.

Projek saya masih belum siap sebenarnya. Tapi saya rindu untuk menulis dan memberi khabar. Asyik menatap komputer tapi tak siap-siap jugak. Terasa ingin melawan arus dan menyiapkannya sekarang. Haha... sungguh tak realistik.

Saya terniat untuk meninggalkan fakta-fakta rambang tentang diri saya sehinggalah saya dapat menulis entri seperti biasa.

1) Masa saya kecik-kecik dulu, saya ingat P. Ramlee dan Saloma hidup dalam dunia hitam putih. Dunia mula berwarna bila Sharifah Aini dan Broery Marantika berdating sambil menyanyi lagu "Seiring dan Sejalan".

21.2.09

MyEvo Gig

Hi, apa khabar? Lama tak bercerita.

Saya teringin nak tulis lebih kerap lagi, tapi entah kenapa kurang bersemangat kebelakangan ini. Saya suspek, mungkin sebab saya sibuk dengan projek kreatif untuk lengkapkan proses graduasi saya. Dan semestinya sebab anak-anak sedara saya, tiga orang tu, akan duduk di New Delhi untuk beberapa tahun atas alasan mengikut ayah mereka bekerja. Haih.. Cerita ini akan saya kembangkan kemudian.

Yang penting sekarang, saya nak bagitau tentang ini;


Kali ini, setelah sekian lama menantikan saat untuk dipertemukan kembali, saya akan bersama geng Marhaens versi elektroakustik. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memperkenalkan barisan pemain yang akan berentap di atas pentas dalam pukul 8 malam di lokasi yang tertera di atas.

Aidit Alfian - gitar akustik
Komposer, produser, pemuzik dan cikgu muzik alang-alang dan lain-lain lagi.

Andy Flop Poppy - bass
Komposer, produser, pemuzik, penyanyi, pelawak, peserius dan lain-lain lagi.

Azizi Masri (GG) - gitar elektrik
Pemain gitar elektrik dengan solo yang dasyat, pembikin gitar elektrik dan akustik yang dasyat, pemain ping-pong yang dasyat tapi kadangkala tewas pada pemain bola yang dasyat dan lain-lain lagi.

Iqbal Hisham - cello
Pelajar jurusan muzik di UiTM, seorang yang ceria dan sentiasa senyum dalam apa jua posisi, memiliki sekumpulan rakan-rakan yang hensem-hensem dan supportive. Status rasmi : masih belum berpunya.

Mie (ahh.. nama penuh abg Mie tak tau... sorry.. nanti saya tanya) Drummer Flop Poppy. Baru-baru kenal sebenarnya. Tapi setakat ni, best je.

Oleh yang demikian, saya sangat gembira. Jom kongsi kegembiraan saya!

9.2.09

Malam Maskara

Saya selsema dari sehari sebelum Maskara hingga 2 hari selepas Maskara. Nasib baik masa Maskara tak terbersin bila nyanyi.

Hehe.. seprais. Saya memang nak nyanyi 3 lagu je. Tapi abg Aidit kata, alang-alang.. Lagipun lagu-lagu yang saya tulis semuanya tolak gitar solo yang kompleks, ringkas-ringkas belaka. ;)

Bagi mereka yang tak sempat menangkap tajuk lagu-lagu yang saya, abg Aidit dan Iqbal (si pemain Cello) sampaikan tempoh hari berikutan bebelan saya yang secepat-cepat kilat, berikut adalah senarainya:
1) Mekanika
2) My Darling
3) Tingkap Kaca
4) Dan ku biarkan kau terlepas
5) Hujan Bunga di KL
6) Ghost (nak lagi!!)

Terus terang saya kata, malam Maskara merupakan antara malam persembahan yang paling saya suka, mungkin yang paling saya gemar. Rasa sangat bertuah sebab dapat berkongsi lagu-lagu saya secara intim dengan mereka yang benar-benar sudi meluangkan masa dan mendengar cerita saya dalam lagu. Hadirin Maskara cukup mesra dan rasa macam kami sudah lama kenal.

Hasil dari malam itu, saya rasa seolah-olah ditiup semangat baru. Saya ingin jadi lebih baik dari yang dulu dan sekarang, saya mahu berkongsi lebih banyak lagi dengan lebih ramai orang. Saya tahu perjalanan saya lebih jauh, nasib baik ada kawasan rehat macam malam Maskara dimana saya boleh berhenti risau sekejap, menikmati enak nafas puas dan rasa lega sebab saya makin dekat pada destinasi saya.

Terima kasih sindiket Sol-Jah, geng Marhaens, teman seperjuangan dan awak semua. Terima kasih kerana sudi membaca dan mendengar. ;)

6.2.09

MASKARA 13

Saya amat teruja kerana diberi peluang untuk menyertai Maskara cetusan sebuah sindiket gelap yang memperjuangkan seni rakyat tanahair. Harap boleh blend in. Siapalah saya di kalangan orang yang hebat2 berikut;



Ayuh, kita jumpa dan berbual di sini.

Saya akan sampaikan 3 buah lagu yang saya tulis. HBKL, Tingkap Kaca dan Masih; bersama dengan abg Aidit dan Iqbal (kalau boleh).

Bestnyer..

31.1.09

percaya pada

Allah. Islam. Tuhan yang maha pengasih, maha penyayang. Yang wujud.

Saya tahu ilmu agama saya tidaklah setinggi mana. Mungkin hanya merangkumi buku teks Pendidikan Agama Islam KBSM. Selebihnya cebisan-cebisan dari apa yang diajar oleh mummy dan abah, dan yang sempat saya dengar dari ceramah di TV, juga yang saya baca dari buku-buku, perbualan dengan rakan-rakan yang lebih tahu.

Tapi saya rasa sangat bertuah. Sebab batasan ilmu tidak pernah menghalang saya untuk mempunyai rasa kepercayaan yang kuat terhadapNya, rasa mengasihi dan dikasihi yang tak mampu saya ertikan. Saya sedar, walaupun dari segi penampilan saya bukanlah seorang muslimah yang tipikal atau terbaik, tapi saya sedang berusaha semampu yang mungkin untuk menjadi lebih berguna, lebih memahami tujuan saya di muka bumi ini. Untuk memberi suara kepada situasi yang selalu disalahfahami.

Masa saya kecil-kecil dulu, mungkin ketika saya berumur 6-7 tahun, saya telah diberi peluang untuk menyedari hakikat kewujudan tuhan yang mendengar, yang mengasihani. Saya dan kakak saya, Jannah, seperti biasa sedang bermain di rumah jiran, bertentangan dengan rumah kami. Saya masih ingat ketika itu kami sedang bermain rumah-rumah. Dan pada hari itu, salah seorang dari kami tidak sihat, jadi kami pun "pergi klinik". Minda kanak-kanak saya memproses, kalau kita nak jumpa doktor, kita kena ada buku rawatan, macam buku abah bawak jumpa doktor bila kita sakit tu.

Saya pun balik ke rumah, berlari. Tanpa disedari oleh mummy, tangan panjang kecil saya telahpun mendapatkan buku tersebut. Setelah berjumpa dengan doktor dan menghabiskan permainan pada hari itu, saya lupa langsung pada buku itu.

Sehinggalah, suatu hari rumah En. Raffali dilanda panik. Ada anak abah tak sihat dan buku rawatan klinik tak dapat dikesan. Saya yang kecil, yang tahu, yang bersalah, senyap. Bertanya pada jiran, mereka tak jumpa, tak tahu kemana perginya. Lalu saya menyorok dalam bilik, takut dan menangis bawah bantal.

Macam-macam fikiran berperang dalam minda. Habislah kalau tak jumpa, tak boleh jumpa doktor, nanti sakit tak boleh baik, boleh mati. Habislah Ana kalau mummy tahu, kalau abah tahu, nanti dah tak sayang, nanti marah, nanti tak boleh keluar main dah.

Dan dalam waktu itu, dalam gelap, selamat dari kebisingan dan kekeliruan di luar, saya sedar takde apapun yang boleh saya lakukan, takde sesiapapun yang boleh tolong saya. Jadi saya berdoa, sebab mummy kata Allah akan tolong kita kalau kita berdoa. Takde kalimah dari kitab untuk mengiringi doa hamba kecilNya, hanya lafaz bismillah dan kata-kata hati yang terdesak, yang ingin percaya sedalam-dalamnya, yang ingin melihat keajaiban di dunia.

Saya masih ingat sujud saya atas tilam (saya suspek melanggar terus tatatertib) dan doa yang berulang-ulang disebut sampai penat, saya hampir tertidur. Keluar dari bilik saya mendapat jawapan kepada permintaan saya. Teman saya datang membawa buku yang dicari-cari dan memberikannya pada abah.

Alhamdulillah.

Allah wujud. Allah sayang saya. Biar apa orang kata, saya percaya dengan hubungan istimewa yang saya ada denganNya. Bagi saya, kepercayaan saya pada Dia dan RasulNya adalah sesuatu yang personal dan intim. Segala perkara yang berlaku, yang baik dan yang buruk adalah caraNya mengisi kewujudan saya sebagai hambaNya. Saya percaya, bila Allah menjadikan kita berbeza dalam pelbagai segi, dia juga menyatukan kita dengan kasih sayangNya. Kasih sayang yang hidup dalam segala yang benar, yang indah, yang kita hargai, yang tak pernah perlukan alasan.

Saya sedar hakikat saya menulis dan berkarya, usaha saya untuk berkongsi sesuatu yang bermakna, adalah dengan harapan dapat berkongsi kebenaran dan keindahan itu. Kalau bukan kerana kasih sayangNya yang dikurniakan pada saya, dijelmakan dalam bentuk pengalaman hidup saya sendiri, ditiupkan pada mereka yang saya kasihi, pernah saya kasihi dan yang masih saya sayang; tak mungkin gitar saya berbunyi, mustahil bibir saya mampu bergerak.

Dan melihat pada kesedihan yang menyelubungi dunia kita sekarang, saya berasa kecil dan lemah kembali. Dalam gelap, saya hanya mampu berdoa dan percaya. Insya-Allah.

27.1.09

A atau B



Saya dan kawan karib saya sedang menjalankan satu pertandingan untuk memilih 'olahan gambar terbaik' diantara A dan B.

Sila undi dan beri komen tentang pilihan anda. Terima kasih. :p

NOTA TAMBAHAN:

Ehem.. Setelah diteliti dan difahami, maka pemenang pusingan pertama "A atau B" jatuh kepada A. Tahniah kepada tuan punye olahan gambar kerana berjaya membuktikan takde orang boleh mahir menggunakan "kedai gambar" dalam masa yang singkat. Sila beri tunjuk ajar, terima kasih.

Kepada yang telah mengundi, sekalung penghargaan dari saya. Pandangan anda memang bes. Malang sekali pertandingan ini takde sponsor oleh itu, komen yang paling bernas atau bertuah tidak dapat dihadiahkan dengan apa-apa. Mungkin saya akan buat pertandingan lain di masa akan datang yang menjanjikan hadiah yang istimewa. ;p

23.1.09

LIRIK: Mekanika


Dulu dunia jadi saksi ku gila.
Senyum bersedih,
menangis gembira.
Mujur aku ditampar sedar.
Aku bukanlah sekadar
mekanika.

Yang senang
kau pasang
semula
bila patah.
Yang mudah
kau baiki
bila goyah.

Dulu kau bisik janji tanpa makna.
Hanya hanyut dalam harapan semesta.
Dan akhirnya kau dihimpit rasa.
Hatimu bukan sekadar
mekanika.

Yang senang
kau pasang
semula
bila patah.
Yang mudah
kau baiki
bila goyah.

Dulu dunia jadi saksi ku gila.
Minum air mata,
makan lagu cinta.
Mujur aku ditampar sedar.
Aku bukanlah sekadar mekanika.

Yang senang
kau pasang
semula
bila patah.
Yang mudah
kau baiki
bila goyah.

Lagu dan lirik oleh Ana Raffali (© 2008 anaraffali muzik ent.)


Video courtesy of booganik