29.8.10

Slanga Bukan Melayu

Saya tak rasa menyanyi dalam apa jua loghat atau slanga itu merupakan satu jenayah berat mahupun masalah negara. Saya juga tak rasa yang cara nyanyian saya adalah satu yang memalukan sebagai gadis melayu yang tinggal di Kuala Lumpur. Mungkin lebih mudah kita lihat cara nyanyian seseorang itu seperti cara kita bertutur. Tak semua orang sama, tapi kenapa kita mampu memahami antara satu sama lain.

Saya hargai kelainan kita yang berbilang bangsa, asal dan keturunan. Jika ada syarat yang ketat untuk membolehkan orang berbual atau berkomunikasi sesama sendiri, atau seelok-eloknya kita semua patut mematuhi satu cara lazim sewaktu bertutur, pelbagai persoalan akan timbul. Cara bertutur mana yang patut kita ikut, peraturan bahasa apa yang perlu kita pegang? Sanggupkah kita biarkan bahasa kita sendiri terbiar sekiranya seluruh dunia mengagungkan bahasa yang lain? Cara kita bercakap mencerminkan identiti kita. Perlukah kita bertukar identiti hanya untuk menyesuaikan diri dengan tuntutan orang?

Saya harap pendengar-pendengar saya tak menghukum saya atas kemampuan saya, kesukaan saya, perwatakkan saya menyampaikan lagu-lagu yang saya tulis sendiri. Saya bukan seorang penyanyi yang dasyat, tapi saya seorang penulis lagu yang faham keinginan lagu-lagu yang saya tulis. Saya juga tak merasakan adapun slang yg keterlaluan ketika menyanyi yang menjejaskan maksud yang cuba saya sampaikan, mungkin ia disalahfahamkan dari lenggok melodi yang saya cipta. Saya masih menyanyikan lagu-lagu melayu, Alhamdulillah ada yang faham. Muzik itu universal, tanpa memahami maksud sebenar lagu kita dapat menyukai apa-apa melodi, (saya peminat band jepun seperti Glay & Judy and Mary dan saya langsung tak faham apa yang mereka katakan dalam lagu tapi saya masih suka).

Dan saya percaya, melalui minat pada sesuatu lagu akan timbul keinginan untuk memahami dengan lebih mendalam. Daripada itu, kita dapat lihat usaha sesetengah individu yang mencari lirik sebenar dan merangkai maksud sendiri berdasarkan pengalaman atau imaginasi masing-masing. Terharu saya bila mendengar atau membaca komen daripada awak yang meyakinkan saya, awak seorang pendengar yang aktif, yang cukup menghargai penat lelah saya menulis lagu untuk duduk dekat di hati awak, yang memaafkan saya atas kepayahan memahami sesuatu lagu hanya kerana kekurangan saya sebagai penyanyi tapi langsung tak kisah sebab suka, menerima saya sebagai seorang individu yang lain sedikit dari yang biasa dan cuba memahami isi hati saya.

Hehe.. bila fikirkan semula, saya telahpun menulis lagu "Cuba Jangan" untuk menyampaikan maksud saya untuk pos ini.

2.4.10

Mari belajar: HBKL

22.3.10

Video Muzik HBKL

Setelah berpenat lelah menyiapkan video muzik secara DIY, akhirnya siap untuk ditonton ramai. ;)

Video Muzik Rasmi Hujan Bunga di Kuala Lumpur


14.3.10

LIRIK: Milikmu

Cinta ini perlukan keyakinan
dua hati yang berkongsian jiwa
milikku, milikmu

apa yang kau ragu-ragu?
percaya padaku

Jangan sesekali kau fikir aku
tak mampu jaga hatimu
hancurlah hatiku

Hidup ini perlukan pertalian
dua insan yang memayungi cinta
milikmu, milikku

apa yang kau tunggu-tunggu?
datanglah padaku

Jangan sesekali kau fikir aku
tak mampu jaga hatimu
hancurlah hatiku
Jangan sesekali kau fikir aku
tak mampu bahagiakanmu
sengsaralah aku

Berkali-kali ku sampaikan hasratku
berkali-kali kau lontarkan ke laut

Jangan sesekali kau fikir engkau
tak mampu jaga hatiku
hancurlah hatiku
Jangan sesekali kau fikir engkau
tak mampu bahagiakanku
sengsaralah aku
Jangan sesekali kau fikir engkau
tak mampu bahagia
denganku, denganku, dengan aku
Jangan sesekali kau fikir buruk.

Lagu dan lirik oleh Ana Raffali (© 2010 anaraffali muzik ent.)

LIRIK: Tahu Aku

Sampai bila harus kau menduga aku
tiada lain selain dirinya yang ku perlu

cinta bukan, bukan permainan untuk kau menang
aku bukan, bukan piala untuk kau bawa pulang

lepas, lepaskanlah aku
tinggal, tinggalkanlah aku

Tiap langkah tersusun membawa aku
makin dekat padanya, makin jauh darimu

cinta bukan, bukan permainan untuk kau menang
aku bukan, bukan piala untuk kau bawa pulang

lepas, lepaskanlah aku
tinggal, tinggalkanlah aku
rasa ini tak siapa pun yang mampu mengenal
selain dirinya, selain dirinya
yang tahu aku

usah kau racuni aku
dengan janji syurgamu itu
aku bukan, bukan permainan untuk kau menang

lepas, lepaskanlah aku
tinggal, tinggalkanlah aku
rasa ini tak siapa pun yang mampu mengenal
selain dirinya, selain dirinya
yang tahu aku
yang tahu aku

Lagu dan lirik oleh Ana Raffali (© 2010 anaraffali muzik ent.)

16.2.10

Terima kasih kawan2!

Semalam, lengkaplah sudah penggambaran video muzik (VM) Hujan Bunga di Kuala Lumpur. Hehe.. Saya tahu, senyap-senyap je kan? Memang tak mau ramai tahu, takut tak kesampaian ideanya.

VM HBKL adalah projek saya dan kawan-kawan. Tak besar, kecil tapi dekat di hati. Saya ingin mengambil peluang untuk mengucapkan terima kasih sayang pada mereka yang terlibat dalam penggambaran.

Terima kasih, kawan karib.
Terima kasih, abg Aidit & Kak Zaza & budak2 Jln Maktab.
Terima kasih, abg Mujez & Geng Universal Music Malaysia.
Terima kasih tuan kedai bunga, Kak Sara (www.niasara.com).
Terima kasih pereka baju, Ariff Shukor (Beau Couture).
Terima kasih krew belakang kamera, Aie, Saddiq & Kak Shahriza.
Terima kasih abg2 dan adik depan kamera, Ijai, Khalil & Ariff.
Terima kasih kawan2 yang tahan tak segan, Irman, Zati & Wawa.
Terima kasih hero Hujan Bunga, Bob.
Terima kasih mekap artis, Kak Nora & Ucu.
Terima kasih penjaga taman dan tukang kebun.
Terima kasih pokok-pokok dan bunga-bunga.
Terima kasih matahari yang menyinari kami.
Terima kasih angin yang membuai rambut dan keringat.
& terima kasih kepada semua yang turut membantu, dengan kata2 semangat dan kasih sayang.

Syukur, alhamdulillah... ;)
Sekarang, selebihnya akan kami siapkan.

GAMBARU!!!

12.2.10

LIRIK: Hatiku Kau Pegang

Semalam ku termimpi
kau telah membawa lari
oh hatiku jauh pergi
adakah ini satu petanda
kau akan ku jumpa nanti?

Sekian lama sudah
ku jalan tanpa berteman
oh diriku takut nanti
kau dekatiku
dan tumpang lalu
tinggalkanku tersipu-sipu

Pelbagai cara telah ku lakukan
untuk menyingkirkanmu dari benak fikiran
tapi semuanya hampa belaka
kau mula meraja di minda
hatiku memangpun kau pegang
lepaskannya, pulangkannya padaku

Setelah ku bertekad
tak mungkin ku terjerat
oh jantungku jatuh lagi
melihat engkau
tersenyum comel
hancurkan rancangan aku

Pelbagai cara telah ku lakukan
untuk menyingkirkanmu dari benak fikiran
tapi semuanya hampa belaka
kau masih meraja di minda
hatiku memangpun kau pegang
lepaskannya, pulangkannya padaku

Lagu dan lirik oleh Ana Raffali (© 2010 anaraffali muzik ent.)

NOTA: Pertama kali membuat persembahan dengan lagu in bersama dengan Pito di Maskara 19.