13.6.11

Khabar angin lintang ;p

Kali terakhir saya menulis di sini, untuk menjernihkan nama saya ekoran tuduhan yang dilemparkan kepada saya dan pihak pengurusan saya beberapa hari sebelum ABP. Dan kali ini, saya menulis lagi untuk memberikan pendapat saya tentang tuduhan baru kepada saya (kiranya tanpa belas kasihan) dalam akhbar popular tempoh hari beberapa minggu sebelum APM. Saya fikir inilah hakikat industri kita. Walau saya cuba bersungguh-sungguh untuk tidak menyakiti sesiapapun, ada juga yang tersakit hati disebabkan saya, sehingga tergamak menyajikan orang lain dengan penipuan berbaur dengki. Saya mohon maaf sekiranya saya mengguris hati mana-mana pihak tanpa sedar. Cuma saya harap jangan mudah terpengaruh dengan kata-kata tanpa usul periksa.


Kacang Lupakan Kulit


Saya memang sangat-sangat bertuah kerana telah ditemui oleh abang Aidit Alfian dan isterinya kak Zaza. Mereka telah membuka mata saya pada apa yang saya mampu lakukan, meniupkan semangat saya untuk berjuang dalam industri muzik, memberikan saya tunjuk ajar dan yang paling penting menjalinkan sebuah persahabatan yang tiada taranya. Saya bukan saja menjadi anak buah pada syarikat rakaman mereka, tapi kami selalu berjenaka yang saya turut merangkap sebagai anak kutip mereka. Banyak pengorbanan terpaksa mereka lakukan untuk memastikan saya mendapat peluang yang sewajarnya dan untuk itu saya sangat-sangat berterima kasih.


Keputusan untuk menubuhkan sebuah syarikat pengurusan sendiri bersama dengan kawan karib saya dan keluarga kami saya buat setelah lebih dari 3 tahun bersama dengan Indah Karya Sdn Bhd. Dalam tempoh itu banyak yang telah abg Aidit dan kak Zaza kongsi dengan saya, banyak juga yang telah saya pelajari dengan bertanya pada mereka yang saya sempat berkenalan dalam industri ini. Sehinggalah suatu hari saya tersedar sudah cukup masa untuk saya berangan lebih jauh dengan membuat pelaburan membina syarikat saya sendiri.


Salah ke? Salah ke saya berbincang dengan keluarga dan teman-teman terlebih dulu? Masing-masing memberikan pendapat yang boleh saya rumuskan; saya harus lebih bertanggungjawab atas kerjaya saya, saya perlu lebih serius dengan hala tuju dan masa depan saya sendiri. Lalu, saya berpegang pada janji yang dibuat 3 tahun lepas dimana pihak label saya telah bersetuju untuk menjaga hal ehwal pengurusan saya sehinggalah saya sudah bersedia untuk menubuh syarikat pengurusan saya sendiri.


Sekarang yang saya kurang faham, dimana pula datangnya isu saya telah meninggalkan mereka yang telah banyak membantu saya, yang saya telah lupa jasa budi abang Aidit dan kak Zaza sedangkan Aidit Alfian Records masih lagi bertanggungjawab sebagai pihak syarikat rakaman saya, dan atas perjanjian berhak menerbitkan album-album saya yang akan datang? Saya bukan si Tanggang yang tak mengaku keluarga atau asal-usulnya. Saya masih lagi dibawah bidang kuasa dan kerja label mereka dan sentiasa melaporkan hal-hal berkenaan. Perbezaannya, saya telah bertindak mengurangkan sedikit bebanan untuk kerja-kerja pengurusan artis, pada masa yang sama memberikan peluang kepada saya untuk lebih berdikari dan belajar selok-belok industri dengan lebih praktikal.


Bagi saya, jasa mereka terlalu tinggi, terlalu banyak dan tak mampu untuk saya balas. Namun saya berharap saya takkan persiakan usaha mereka selama ini dengan sentiasa berusaha sehabis baik untuk meneruskan perjuangan saya dalam industri, mempertingkatkan kemampuan saya saban hari dan menghasilkan karya-karya yang mampu dekat dengan jiwa rakyat. Setiap pencapaian saya, kecil atau besar adalah antara usaha saya untuk tidak menghampakan mereka yang saya hormat dan kasihi, abg Aidit dan kak Zaza.


Persahabatan kami yang murni sepatutnya tak diukur atas dasar untung rugi perniagaan. Tolong jangan warnakan mereka yang saya sanjung seolah-olah tidak profesional dalam bidang mereka, membiarkan emosi mengganggu urusan kerja atau terlalu pentingkan bisnes dari soal hati dan keinginan saya. Saya kenal mereka dan saya percaya mereka mahukan yang terbaik untuk saya dan kerjaya saya sepertimana saya mahukan yang terbaik untuk kami semua. Syukur Alhamdulillah, Aidit Alfian Records bertambah berkembang belakangan ini dan saya yakin mereka akan terus menjadi pemangkin kepada kejayaan lebih ramai lagi artis kelak.


Tak Ngam dengan Uncle Sohaimi


Ini lagi satu perkara yang tak masuk akal. Apalah salah kami sehingga orang sanggup mempersoalkan kredibiliti dan sikap profesionalism Uncle Sohaimi yang dikatakan tak ngam dengan saya sehingga sanggup menarik diri untuk acara yang melibatkan kami berdua? Tolong jangan bersikap keji dengan menuduh Uncle Sohaimi tak profesional sedemikian, tak ada sebab untuk dia nak bersengketa dengan mana-mana pihak termasuklah saya. Sebagai seseorang yang telah lama makan garam dalam industri ini, beliau sudah tentu mempunyai sebab yang mustahak. Sewaktu persembahan ABP beliau demam selsema dan sakit kerongkong, hinggakan beliau kurang yakin untuk memberikan persembahan yang terbaik. Tapi untuk tidak menghampakan Altimet dan saya yang julung kalinya berkongsi pentas di Arena of Stars, beliau sanggup mencari pengganti beliau sendiri sekaligus memberikan peluang pada saudara Dani untuk menunjukkan bakatnya.


Mungkin tak siapa yang lebih kenal Uncle Sohaimi daripada keluarganya. Dan saya percaya atas sebab keluarga dan perniagaan yang dibina untuk mereka juga, beliau terpaksa menarik diri daripada beberapa komitmen muzik. Dan bagi saya pengorbanan beliau demi kasih sayang pada keluarganya cukup dahsyat dan sewajarnya kita hormat. Bukan menyebarkan cerita-cerita palsu yang memburukkan peribadi beliau sebagai seseorang yang berketrampilan. Apa onar atau silap yang saya lakukan pada beliau sehingga pihak tertentu cukup senang membuat rumusan hubungan kami tidak baik? Sepanjang persembahan yang kami kongsi bersama, tidak pernah kami bertengkar atau bermasam muka atau tidak bertegur sapa langsung. Cuba tanya mana-mana pihak yang pernah bekerjasama dengan kami, mustahil.


Baju kurung


Saya tak pernah mengaku saya memakai baju kurung 24 jam 7 hari seminggu dan hakikatnya memang tidak. Saya cuba untuk mengetengahkan minat saya pada baju kurung/kebaya sebagai satu busana sopan yang indah dan sesuai untuk saya ketika saya membuat persembahan di atas pentas sambil bermain gitar. Cuba untuk meletakkan baju kebangsaan kita di tempat yang tinggi, di atas pentas berprestij, di laluan karpet merah. Bukan untuk mencari kelainan hanya sebab saya sukakan idea tersebut. Memakai baju kurung bukanlah satu perkara yang pelik untuk seorang gadis melayu, apa salahnya saya menjadikannya eksklusif untuk diri saya sendiri. Lalu saya memulakan dan meneruskan memakai baju kurung sebagai tanda sayang saya pada warisan kita. Dan antara video terawal saya yang dilihat oleh abang Aidit sebelum beliau mengenali saya adalah persembahan saya menyanyikan lagu Hujan Bunga di Kuala Lumpur memakai baju kurung merah kegemaran saya bertemankan gitar.



Mohon ampun video ni dirakam akhir tahun 2007, ketika ini saya baru je cuba-cuba nak berkongsi lagu saya dengan orang. Saya sendiri pun geli-geli dengar nyanyian saya ketika ini. Hehe.. Maaf ye!


Dan seingat-ingat saya, sepanjang kehidupan saya di muka bumi ini tak pernah pun saya memakai singlet sahaja walaupun dalam rumah. Sewaktu muda remaja dulu saya pernah memakai skirt atau seluar pendek ketika berada di luar tapi itu bukanlah pilihan saya sekarang. Citarasa saya dah berubah dan saya lebih selesa memakai seluar jeans, tshirt dan blouse ketika tidak membuat persembahan atau penampilan rasmi.


Penyebar cerita mempertikaikan sesuatu yang tak munasabah dengan menilai seseorang dari sudut penampilan bukannya hati budi. Lepas ni adakah mana-mana gadis, orang biasa mahupun artis yang memakai singlet atau baju yang seangkatan dengannya, akan mendapat konotasi negatif hanya atas pemilihan pakaian mereka? Adakah kita hanya tahu menilai orang dari apa yang mereka pernah pakai, sedang pakai atau akan pakai? Adakah pakaian seseorang mencerminkan peribadi dan hati budi? Kalau kita tak berkenan pun dengan pemakaian seseorang, adakah kita akan berhenti melihatnya sebagai seorang individu yang punya hati dan perasaan. Bagi saya setiap orang berhak memakai apa yang dia mahu, sepertimana saya punya hak untuk pakai baju kurung atau tidak pakai baju kurung. Baju kurung bukan uniform saya untuk bekerja, dah saya suka pakai untuk show, salah ke?


Tak pandai sangat main gitar


Ye, saya memang tak pandai sangat main gitar sepertimana saya tak handal sangat menyanyi. Saya juga tak pandai sangat main bola, memasak serta menganyam ketupat. Banyak perkara yang saya tak pandai sangat, dan ada juga benda yang saya tak pandai langsung. Jadi, apakah motifnya menceritakan sesuatu yang umum boleh lihat dan ketahui sendiri, sebab saya tak pernah langsung mengaku hebat dalam apa yang saya tak mahir dan saya tak pernah sembunyikan kelemahan saya di depan khalayak ramai pun. Boleh cari di youtube untuk melihat saya bermain gitar dan menyanyi secara langsung ye, bukan apa pun.


Cuma yang ingin saya kongsikan adalah lagu-lagu yang saya tulis walaupun pengetahuan saya dalam muzik sangatlah sikit berbanding mereka yang berpengalaman. Saya tak membiarkan kelemahan saya dalam bermain gitar menghalang saya untuk terus menghasilkan karya-karya yang punya cap saya sendiri. Saya takkan putus asa dalam cuba untuk menambah baik kekurangan diri. Dan semua orang tahu rezeki dari Allah, saya telah menang pertandingan menulis lagu, bukan pertandingan menyanyi atau bermain gitar. Hehe..


Hipokrit mengikut kamus dewan yang baru saya beli petang tadi (terima kasih abg staf DBP yang bagi saya diskaun) antaranya bermaksud orang yang berpura-pura berperangai (berkelakuan, bersifat dll) baik. Bagi saya ini sudah cukup bagus daripada orang yang langsung berperangai buruk kan? Hehe.. Sekurang-kurangnya dia memperlihatkan keadaan diri yang bagus pada orang ramai, untuk tidak memperkecilkan hati mana-mana pihak, untuk menjaga perasaan orang. Dia meletakkan masyarakat terlebih dulu daripada keinginan dan kebebasan beliau sebagai seorang individu. Dia sanggup berpenat lelah meluangkan masa untuk melakukan kebaikan demi penerimaan masyarakat. Tabik spring untuk pengorbanannya yang tak terhingga. Dahsyatlah! Hehe.. ok ok, saja je nak timbulkan persoalan eksistensialisme untuk anda yang membaca.


Kesimpulannya, saya tak cari pasal dengan orang, tapi tetap ada orang tak puas hati dengan saya. Mudah, saya rapatkan kedua tapak tangan dan memohon pada yang Maha Mengetahui hati manusia.


"Ya Allah ya Tuhanku, tenangkanlah hati mereka yang menyimpan perasaan benci dan dengki terhadapku. Berikan mereka peluang untuk mengenali diriku yang hanya hamba pada kekuasaan-Mu ya Allah. Semoga mereka dapat menerimaku dan redha atas ketentuan-Mu untukku." Amin..


Terima kasih sebab sudi luangkan masa untuk membaca penjelasan saya. Saya hargai.


P/S: Ada gosip saya dilihat bonceng moto dengan kekasih menghala ke selatan Malaysia baru-baru ni. Mungkin wartawan itu terlupa yang beliau sendiri telah datang pada prebiu KMJ60an yang berlangsung di IB dimana saya pun terlibat sekali. Pementasan berlangsung dari 27 mei sehinggalah 5 jun baru-baru ni. Boleh pulak saya lari sekejap dan balik sempat untuk show pukul 3 petang ye? Mungkin moto tu ada suis istimewa bertukar jadi kapal terbang untuk kemudahan saya bergegas balik kl sekali sekala. Hehe.. Bertukar! ;p











25.3.11

kalau takde angin, tangan pun jadilah

Penat sebenarnya, kebelakangan ni. Saya percaya mereka yang mengikuti perkembangan saya faham apa yang saya maksudkan. Agak lucu memikirkan, pada peringkat awal pembabitan saya dalam bidang ini saya telah diberi amaran tentang dunia hiburan dan gosip buruk yang seolah-olah berpaut pada mana-mana penggiat seni. Dan untuk mengalaminya sendiri, saya mula sedar akan betapa mencabarnya 'kerja-luar kerja' saya yang sebenar.

Tidak adil bagi mana-mana individu untuk menilai seseorang hanya melalui khabar angin, atau pemerhatian yang tak benar-benar terperinci. Membuat andaian tanpa usul periksa adalah punca salah faham. Pepatah kalau tiada angin masakan pokok bergoyang seolah-olah menjadi 'anthem' atau lagu rasmi bagi mana-mana individu untuk memanjangkan cerita, alasan untuk membenarkan tindakan menyampaikan berita negatif kepada orang lain. Mana-mana orang boleh bikin cerita, oleh itu sejauh mana kita mempercayainya bergantung pada niat di hati. Kalau kita bersangka buruk pada seseorang, buruklah yang dilihatnya. Jadi, saya faham bahawa saya harus redha dengan kelemahan saya yang tak mampu menawan hati semua orang. Namun saya takkan biarkan gosip mematahkan semangat saya untuk bekerja.

Tapi, hati saya tergerak untuk menulis sesuatu untuk ditujukan kepada seseorang yang saya fikir berhak untuk mendapat penjelasan dari saya. Salah satu sebab beliau pernah menjadi mangsa kepada kelewatan saya tempoh hari (dan untuk itu saya memohon maaf sekali lagi) dan saya fikir keprihatinan beliau wajar di ambil kira.


Assalamualaikum,

En. Hazrey, saya Ana Raffali dan saya mohon maaf terlebih dahulu sebab akan mengambil masa encik untuk membaca entri saya ini tapi saya cuba untuk menjadi seringkas-ringkas yang mungkin.

Tentang entri encik mengenai saya dimana encik telah "quote kenyataan saya kepada MStar", saya ucapkan terima kasih kerana sudi mengetengahkan isu itu. Encik berhak untuk bertanya, mungkin juga encik berhak untuk memperkecilkan, memperlekehkan dan menghina pihak pengurusan kami. Oleh kerana itu saya juga percaya encik berhak untuk tahu keadaan sebenar atas dasar ambil berat encik tentang saya dan segala gosip tentang diri saya.

En. Hazrey harus faham bahawa mana-mana individu yang memberi kenyataan kepada surat khabar harus redha akan kemungkinan kata-katanya tidak akan ditulis sepertimana dicakap. Ada yang ditambah dan ada juga yang ditolak. Dalam kes saya, MStar tidak berkesempatan untuk melaporkan bahawa, web tv itu telah meminta saya untuk membuat persembahan, menyanyikan lagu saya.

Seperti yang En. Hazrey tahu, kebiasaannya atau "standard practice" untuk mana-mana rancangan tv termasuk rancangan web, mereka ada menyediakan token sekiranya ia bukan penampilan berbayar. Tak banyak, tapi mencukupi untuk kos seperti minyak, tol dan sebagainya supaya atas dasar hormat kepada artis, dia tak perlu membayar untuk melakukan kerjanya. Jika penampilannya dilihat sebagai promosi, ia seharusnya dibuat melalui syarikat rakaman atau label yang mempunyai bajet berdasarkan pelan promosi mereka sendiri. Tapi ada kalanya, memang token tidak disediakan dan saya tetap luangkan masa membuat penampilan tanpa meminta, merayu atau memeras ugut mana-mana produksi atau pihak media sepertimana yang telah dihebahkan di kolum gossip. Tanyalah mana-mana suratkhabar, majalah, stesen tv yang pernah bekerjasama dengan saya sebelum ni atau selepas, tak pernah dibuat.

Oleh sebab itu, saya harap En. Hazrey dapat faham bahawa pengurus saya hanya bertindak atas permintaan yang diajukan kepadanya. Saya lihat En. Hazrey terlepas untuk menilai artikel murai itu dimana penulis sendiri kata sumbernya adalah junior kepadanya jadi besar kemungkinan dia sendiri belum bersedia menghadapi soalan-soalan umum berkenaan undangan untuk membuat persembahan.

Benda kecil seperti minta untuk sediakan baju makeup dan sebagainya pun bukanlah satu isu. Ada rancangan tv yang mendapat sponsor untuk memperagakan baju, ada produksi yang memang menyediakan makeup. Dan ada yang memberi kelonggaran pada artis untuk menyediakan baju dan makeup sendiri. Tak wajarkah pihak saya bertanya tentang mana satu menjadi ikutan pada mana-mana produksi yang meminta saya membuat penampilan untuk memudahkan lagi urusan kami menyediakan apa yang tiada.

Ada bezanya bertanya dan meminta. Mungkin sumber gosip ini terbiasa meminta sesuatu dengan bertanya. Contoh; Di sebuah kedai runcit di pekan, pelanggan bertanya "Abang, biskut meri ada?" jurujual jawab "Ada." dan sambung baca blog di ipadnya.

Itulah yang berlaku, maaf atas salah faham dan kesulitan yang berlaku. Seperkara lagi, En. Hazrey telah mengungkit insiden saya lambat. Saya tahu benda ni dah lama berlaku dan saya telahpun menulis memohon maaf. Fitnah yang saya maksudkan adalah menokok tambah apa yang berlaku untuk menjadikan ianya lebih sensasi sedangkan apa yang berlaku bukanlah seperti yang dikhabar. Semestinya, pepatah buang yang keruh, ambil yang jernih sewajarnya kita amalkan. Saya mohon maaf pada En. Hazrey kerana menjadi mangsa pada kelemahan saya ketika itu, dan saya mohon doa pada Yang Maha Pengasih untuk membuka hati En. Hazrey menerima maaf saya. ;)

Ana


NOTA : Untuk pengetahuan En. Hazrey, pihak kami telahpun bersetuju untuk ditemuramah oleh pihak berkenaan tanpa bayaran atau token dan penggambaran untuk sesi tersebut telahpun dibuat. Saya dimaklumkan sumber cerita yang dimaksudkan sendiri terkejut dengan ruangan gosip tersebut kerana beliau mengaku hanya bercerita tentang perbualan dengan pihak pengurusan saya secara kasual tanpa niat untuk menjadikannya cerita sensasi. Jadi mungkin salah faham ini tak berpunca antara pihak saya dan pihak beliau, tapi telah diubah suai oleh pihak ketiga yang tak tahu keseluruhan cerita.

21.2.11

Semarakkan Cinta 120211

















Seronok sebab buat pertama kalinya mempersembahkan lagu Sehabis Baik di depan orang ramai. Terima kasih Gua.com.my, Universal Music Malaysia dan Red Box Pavilion untuk acara yang mencipta kenangan manis buat kami. Terima kasih kepada yang datang sebab cukup sporting dan semoga percintaan, persahabatan dan hubungan kekeluargaan diantara mereka yang datang semakin erat dan bermakna, amin.. ;)

Semarakkan Cinta | Gua.com.my | Universal Music Malaysia | Busana: Jeffriey Ibrahim | 6ixth Sense |

12.2.11

LIRIK: Sayangi Aku

Sayangi aku
itu saja yang ku pinta darimu
bukan harta yang menggunung
hanya waktumu temani aku

Jangan sesekali
kau bertanyakan mengapa
Tuhan berikan apa yang kita ada
apa yang kita ada kita jaga

Hidupku tak bermakna jika kau tiada
usah kau belakangi aku
jangan tinggalkan aku

Mana ada yang sempurna
dalam dunia kau dan aku
masing-masing punya beban
dari kesilapan terdahulu

Jangan sesekali
kau menambahkan beratnya
kita belajar jadi lebih baik
jadi lebih baik dari yang ada

Hidupku tak bermakna jika kau tiada
usah kau belakangi aku
jangan tinggalkan aku
Kasihmu mengubat segala sakitku
harap kau sayangi aku
tolong lindungi aku

Haruskah aku hadapi hariku
sendirian?
Tunjukkan aku, ajarkan aku
apa itu belas kasihan

Hidupku tak bermakna jika kau tiada
usah kau belakangi aku
jangan tinggalkan aku
Kasihmu mengubat segala sakitku
harap kau sayangi aku
tolong lindungi aku

Kasihmu,
harap kau sayangi aku
tolong lindungi aku.

Lagu dan lirik oleh Ana Raffali (© 2010 anaraffali muzik ent.)




(Saya, Nazrin dan Rohnie untuk Malam Puisi Riong 2010)

NOTA: Lagu ini saya tulis berikutan terlalu banyak berita sedih tentang bayi yg ditinggalkan oleh ibu mereka. Jadi saya tulis lagu ini sebagai rayuan bagi pihak si kecil yang tak berdosa meminta untuk dibela dan dilindungi dengan penuh kasih sayang.

23.1.11

Terima kasih lagi dan lagi...

Salam semua! Saya cuma mahu korang semua tahu yang sekiranya ada kenyataan yang berbaur seolah-olah saya lupa diri, bongkak atau sombong, tolong maafkan saya. Saya tak bermaksud untuk kelihatan berlagak atas kemenangan saya dalam AJL. Bila saya kata saya boleh pulangkan trofi sebab cukup M. Nasir kata saya menang, itu maksudnya saya tak mahu kejayaan saya dinilai dengan material. Bertanding dalam AJL pun sudah cukup untuk buat saya rasa kemenangan kecil sebab layaknya saya bertanding atas undian korang semua yang sudi menyokong saya. Jadi sebenarnya, saya rasa cukup kalau seseorang dapat hargai kerja saya, cukup bila korang semua kat sini sokong karya saya. Walaupun bilangan kita kecil, tapi kecil2 kita inilah sebenarnya kemenangan yang manis buat saya. Kemenangan tak semestinya pada gelaran, tak semestinya pada trofi. Sebab tu korang patut tahu saya akan sentiasa hargai korang yang saya sayang, yang sudi menangkan saya dalam hati masing2. ;)

20.1.11

Bukan Melatah, Cuma Memohon

Assalamualaikum & salam sejahtera,

Saya minta maaf sekiranya ada pihak yang betul-betul terguris, terkecil hati, terluka akibat perbuatan saya, perlakuan saya, sama ada dalam bentuk kata-kata mahupun tingkah laku. Bukan niat saya untuk mendatangkan beban atau tekanan kepada hidup pihak yang terbabit. Saya memang akui saya tidak lepas daripada melakukan kesilapan, dan saya meminta belas kasihan awak untuk memberi saya peluang untuk memperbaiki diri saya sendiri.

Izinkan saya berkongsi tentang khabar bahawa saya lambat pada sesuatu majlis dan tidak meminta maaf.

Maaf saya memang lambat. Tapi tidaklah sampai satu jam atau beberapa jam seperti yang telah digembar-gemburkan. Saya juga tidaklah kurang ajar sehingga langsung tidak memohon maaf atas kelewatan itu. Apa yang berlaku adalah salah faham diantara wakil pihak pengurusan saya yang berhubung dengan wakil pihak penganjur.

Sebenarnya, kami telahpun mempunyai komitmen terdahulu untuk menjayakan sebuah konsert, tetapi demi memenuhi permintaan telah bersetuju untuk turut serta menjayakan satu lagi acara pada hari yang sama. Kami telah diberitahu bahawa kenderaan(transportation) untuk ke tempat acara akan disediakan, cuma tidak tahu menahu rupanya bagaimana. Dijemput ke acara itu secara 'personal' dan dihantar ke acara seterusnya secara 'personal' kerana kami menginap di hotel yang berbeza.

Disebabkan malam yang sebelumnya kami dan keseluruhan produksi untuk satu konsert besar habis agak lewat, tinggal beberapa jam sahaja untuk saya berehat sebelum masa untuk bersiap untuk berpentas(menyanyi). Saya meminta wakil PR saya untuk menghubungi wakil pihak penganjur untuk bertanya pukul berapa dijangka 'transport' akan sampai. 12.30pm katanya. Ketika itu saya sedang mengenakan solekan sendiri kerana telah diberitahu terlebih dahulu.

Tiba-tiba PR saya telah ditelefon pada pukul 12 dan katanya mereka sudah sampai di hotel. Saya masih belum siap dan mereka telah sampai lebih awal dari yang dijanjikan. Kelam kabut bersiap, panik. Saya ada satu masalah dimana kalau saya panik saya akan sakit perut. Itu memang tidak membantu. PR saya telah meminta maaf dan memohon untuk diberikan sedikit masa untuk saya habiskan apa yang saya perlu lakukan.

Kedebub kedebab apabila turun ke lobi, hati saya berat dan rasa cukup bersalah untuk mendapati satu bas terpaksa menunggu saya, sedangkan dalam kepala, saya bayangkan ada sebiji kereta kalau bukan van yang datang menjemput kami. Perkara pertama yang keluar dari mulut saya apabila menaiki bas ialah, "Sorry." Namun mungkin tak semua yang sudi pandang saya atau pedulikan saya untuk dengar. Sepanjang acara berlangsung saya mencari peluang untuk memohon maaf kepada wakil-wakil dari pihak penganjur dan juga rakan-rakan artis dan saya percaya jika mereka ditanya perkara itu mereka akan menjawab sebenar-benarnya.

Sekali lagi saya ingin memohon maaf atas kelewatan saya kepada pihak yang saya terlepas untuk cakap. Saya faham perasaan mereka yang terpaksa menunggu dan saya rasa cukup lemah memikirkan bahawa kejadian tersebut memang di luar kawalan saya. Kelemahan saya tidak mampu mempersiapkan diri dengan lebih pantas. Saya sangat baru dalam bidang dimana penampilan diri memang dititikberatkan, jadi berilah masa untuk saya belajar mahirkan diri. Saya tak punya apa-apa kuasa untuk mengubah apa yang telah berlaku, tapi kuasa untuk mengampun dan mengasihani terletak dalam tangan awak. Tolong maafkan saya.

Saya juga mahu semua faham bahawa saya tidak bertindak keseorangan, segala tindak-tanduk saya dijaga oleh pihak pengurusan saya sendiri, jadi salah faham sebegini sememangnya punya ruang untuk berlaku. Jadi mereka sampai lebih awal dari yang dijangka, dan saya pula tersalah bajet masa untuk bersiap. Lewat 15min (dalam jangkaan awal) berbanding lewat 50min(dalam realiti) bukankah dua perkara yang berbeza?

Cuma saya sedikit kecewa bahawa ceritanya telah ditokok tambah untuk memberikan gambaran seolah-olah saya tiada integriti langsung dalam kerjaya saya. Seolah-olah pihak pengurusan saya telah lepas tangan dan tidak bertanggungjawab dalam menjaga saya. Lain yang berlaku, lain yang diceritakan, lain pula yang disampaikan. Sewajarnya segala kekeliruan tentang diri saya atau masalah tentang saya perlu diselidik terlebih dahulu sebelum dijaja menjadi satu cerita sensasi.

Saya berpegang pada pesanan ibu saya. Hormat orang, kalau kita buat salah, minta maaf, kalau orang berjasa dengan kita, ucap terima kasih. 'Be a good girl.' Senang saja. Mungkin perkara ini berlaku hanya untuk menolong mengingatkan saya betapa rapuhnya dunia kita ini. Dan saya harus redha dengan ketentuan-Nya untuk menduga saya sebegini hanya untuk menjadikan saya insan yang lebih baik dari sebelumnya.

Ya Allah ya Tuhanku, Maha Pengasih, Maha Penyayang, ku berdoa pada-Mu untuk meminjamkan sedikit belas kasihan pada mereka yang menghukum diriku dengan kata-kata ya Allah. Tenangkanlah hati mereka yang menyimpan dendam, pulihkanlah luka pada perhubungan aku dengan mereka ya Allah. Kau kurniakanlah kesejahteraan pada mereka supaya hidup mereka tidak dihantui perasaan benci pada hamba-Mu ini ya Allah. Sesungguhnya Engkau saja yang kenal hati budi hamba-hamba-Mu.

Amin.

Terima kasih kerana sudi membaca dan sudi memberi ruang dalam hati untuk memahami penjelasan saya. ;)

19.1.11

LIRIK: Sehabis Baik

Sehabis Baik

Ku mulakan hariku dengan segunung harapan
panjatkan pohon pada yang Maha Esa
Kelak langkah kakiku kan ketemukan aku
dengan jawapan yang lebih nyata

Entah ini harinya
ku kan berjumpa dengannya
jadi ku harus berusaha sehabis baik
Nanti dia kan lihat
semangatku makin ligat
hingga buruk jadi cantik

Pom pom pom pom (pom pom pom pom)
pom pom pom pom (pom pom pom pom)
pom pom pom pom
pom pom
pom pom pom
Langkah kaki (langkah kaki)
Gerak hati (gerak hati)
Terus kejar bayang yang diimpi

Biarpun sering keliru
ku tahu ke mana harus ku tuju

Ku lengkapkan diriku dengan seribu pesanan
namun tak mampu untuk ku ingat semua
Kelak langkah kakiku kan ketemukan aku
dengan peringatan istimewa

Harap ini masanya
untuk ku buktikan semua
bahawa ku telah berusaha sehabis baik
Mesti aku kan dapat
semangatku jadi ubat
pada jiwa yang tercarik

Pom pom pom pom (pom pom pom pom)
pom pom pom pom (pom pom pom pom)
pom pom pom pom
pom pom
pom pom pom
Langkah kaki (langkah kaki)
Gerak hati (gerak hati)
Terus kejar bayang yang diimpi
Langkah kaki (langkah kaki)
Gerak hati (gerak hati)
Terus kejar bayang yang diimpi
Terus kejar bayang yang diimpi
Dengan dia oh sukanya hati!

Lagu dan lirik oleh Ana Raffali (© 2011 anaraffali muzik ent.)

NOTA: Lagu yang saya tulis istimewa untuk filem Karipap-karipap Cinta arahan Othman Hafsham diadaptasi daripada novel tulisan Nazri M Annuar. ;)

17.1.11

LIRIK: Tolong Ingatkan Aku

Tolong Ingatkan Aku

Jangan disusun kata-kata penamat
jangan disebut baris ayat keramat
biar lenyap diserap sunyi
biar senyap yang tak menyepi

tolong ingatkan aku
kisah kau tersedar
dengan saku penyeluk masa

Mari patahkan papan markah lama
mari padamkan buku tiga lima
biar luka sembuh sendiri
biar lupa ditebus hari

tolong ingatkan aku
kisah kau tersedar
dengan saku penyeluk masa
kau dampingi aku
setiap detik jantungku berdetak
setiap nota jiwaku berlagu-lagu

bila marah merasuk minda
kecewa menyelubungi jiwa
aku lupa

tolong ingatkan aku
kisah ku tersedar
dengan kasih memeluk rasa
ku teringatkanmu
setiap detik jantungku berdetak
setiap nota jiwaku berlagu-lagu

tolong ingatkan aku kisah kita
tolong ingatkan aku
kisah ku tersedar
dengan kasih memeluk rasa

tolong ingatkan aku
kisah kita

Lagu dan lirik oleh Ana Raffali (© 2009 anaraffali muzik ent.)

09/06/12 NOTA: Menulis puisi dan lirik itu satu disiplin yang berbeza. Kadangkala melodi diutamakan untuk memberi rentak pada penceritaan dalam mana-mana lagu. Ada juga masa lirik membawakan ritma yang menentukan corak melodi. Puisi lebih bebas dan tak tertakluk pada mana-mana ukuran.

Dalam proses penulisan lagu, saya lebih biasa dengan melodi dulu sebelum lirik. Dalam kes ini, saya sudah tahu apa yang saya cuba sampaikan jadi liriknya mudah dicapai dari apa yang saya pernah kupas.

Seperti yang awak boleh lihat, walaupun ceritanya sama (perkataan yang digunakan pun sama), terdapat kelainan dari segi susunan dan fokus masing-masing. Puisi barangkali lebih kepada memujuk supaya jangan bergaduh dan berpisah, manakala lagu/liriknya adalah peringatan untuk tidak bergaduh dan berpisah. Haha.. Saya hanya menulis, bukan menghurai. ;p

Kesimpulannya, saya lebih selesa berlagu dari berpuisi. Tapi, setelah mengupas subjek ini di dalam puisi, macam lagi senang lah pulak untuk menulis lirik. Mungkin saya akan cuba cara ini lagi. ;)

NOTA TAMBAHAN:

17/1/11 - Syukur Alhamdulillah, lagu ini terpilih sebagai Juara AJL 25. Terima kasih atas doa dan sokongan anda yang sudi meluangkan masa. Saya mendapat banyak permintaan untuk berkongsi maksud lagu ini secara terperinci dan saya akan cuba untuk menyampaikannya sebaik mungkin.

Kadang kala apabila saya menulis lagu, saya akan membayangkan satu situasi yang seolah-olah dipetik dari filem. Dan untuk TIA saya dapat melihat sepasang kekasih yang baru lepas bergaduh di dalam kereta dalam perjalanan menghantar gadis pulang ke rumah. Masing-masing senyap dan tak tahu apa untuk dicakap lagi. Pelbagai andaian dan idea negatif berlegar dalam kepala kedua-duanya. Terasa seperti ingin menghentikan hubungan, menyerah kalah dan berputus asa. Dan keluarlah idea;

Jangan disusun kata-kata penamat, jangan disebut baris ayat keramat, biar lenyap diserap sunyi, biar senyap yang tak menyepi - Ungkapan kita putus umpama ayat keramat yang mampu menghancurkan hati yang bercinta. Jangan kata apa-apa yang mungkin memudaratkan keadaan, lebih baik diam tapi bukan untuk menarik diri, menyepikan diri dari hubungan itu. Sebaliknya berikan ruang dan masa untuk memikirkan dengan tenang.

Tolong ingatkan aku kisah kau tersedar dengan saku penyeluk masa, kau dampingi aku setiap detik jantungku berdetak, setiap nota jiwaku berlagu-lagu - Saya fikir semua orang boleh ungkap kata sayang tapi belum tentu dapat buktikan. Daripada menulis "tolong ingatkan aku kisah kau tersedar yang kau sayang aku" saya memilih untuk menzahirkan sayang itu dengan berkongsi betapa bernilainya kasih sayang itu apabila disertakan dengan pengorbanan dan dalam kes ini, "kau" sanggup menyeluk masa, mencari dan mencuri detik hanya untuk dampingi "aku" selagi hayatku ada, untuk setiap nota dalam lagu yang mengiringi hidupku. Kiranya, penyeluk masa ini dapat diimaginasi sebagai seseorang yang mempunyai waktu yang banyak dalam poket yang boleh digunakan sesuka hati. Dan hatinya mahu menghabiskan waktu dengan orang yang dia sayang.

Mari patahkan papan markah lama, mari padamkan buku tiga lima, biar luka sembuh sendiri, biar lupa ditebus hari - Jangan kira poin kalah menang, jangan berkira atau rasa berhutang/menghutang dengan orang yang kita sayang dan sayang kita. Biar masa memulihkan keadaan.

Bila marah merasuk minda, kecewa menyelubungi jiwa, aku lupa - Kita lalai, leka, alpa bila kita biarkan emosi, perasaan negatif menguasai pertimbangan.

Tolong ingatkan aku kisah ku tersedar, dengan kasih memeluk rasa. Ku teringatkanmu setiap detik jantungku berdetak, setiap nota jiwaku berlagu-lagu - Kadang-kadang kita tak sedar betapa kita sayang akan seseorang sehinggalah kita berani berdepan, berlaku jujur dengan perasaan sendiri. Sesetengah orang hidup menafikan rasa kasih atau cinta pada seseorang atas sebab-sebab berbeza, malu, takut, ego, marah dan sebagainya. Dan kita sedar bahawa kasih sayang itu ada dan dapat dirasa hanya bila dia tiada disisi dan kita masih memikirkannya.

Kesimpulanya, TIA saya tulis sebagai peringatan untuk menghargai orang yang kita sayang dan sayang kita.

Oh, bagi yang tertanya-tanya apa yang saya cuba gambarkan dengan persembahan ala teater saya dalam AJL, izinkan saya berkongsi.

Sangkar itu adalah simbolik untuk membawa drama kepada seseorang yang dihukum oleh orang yang dia sayang, diperangkap oleh perasaan negatif seperti ego, cemburu, marah dan kecewa yang dibawa oleh keempat-empat "hantu" atas pentas. Apabila timbul masalah atau pergaduhan antara pasangan kekasih, selalunya akan ada pemangsa dan yang dimangsakan. Tetapi sebenarnya kedua-kedua sama terperangkap dalam sangkar atau hukuman masing-masing(sebab itu ada dua sangkar). Hanya kasih sayang dan belas kasihan (dua orang penari berbaju putih) mampu melepaskan kita dari sangkar/hukuman tersebut, dan kita bertanggungjawab untuk melepaskan orang yang kita sayang dari dibelenggu kerana kita sajalah yang mampu. Dan cara yang terbaik untuk melepaskan diri dari perasaan atau andaian yang buruk ialah dengan mengingatkan tentang kemanisan perhubungan itu, betapa pentingnya orang yang kita sayang.

Jadi itulah dia. Saya faham disebabkan keterbatasan siaran secara langsung, banyak adegan tidak dapat dikongsi dengan penonton di rumah. Tapi saya akan usahakan untuk berkongsi rakaman keseluruhan pentas dari tempat duduk depan bersama dengan anda semua, insyaAllah. Terima kasih kerana sudi menyeluk masa dan membaca huraian dari saya. ;)