29.7.09

LIRIK: Hujan Bunga di Kuala Lumpur (HBKL)

original photo courtesy of aboutthelettera.com


Ramalan kaji cuaca kata
aku kan jatuh cinta
tapi tak pula beritahu dengan siapa.
Lalu hari ini ku berlari
mencari-cari
si dia yang bakal
miliki hati ini.

Mungkin dia ada disitu,
tersenyum padaku,
namun malu-malu.

Hujan bunga di Kuala Lumpur
kini sudah tiada masa
untuk mencari payung
berteduh kita bawah surat khabar
lalu terbaca berita kata
hujan ini tak akan reda.

Ikut rasa ingin sahaja
aku hampirinya
tapi ku takut apa pula kata semua.
Bukan senang untuk
ku meluangkan masa ini
sekadar peluang mengisi
ruang kosong hati.

Mungkin dia ada disitu,
tersenyum padaku,
namun malu-malu.

Hujan bunga di Kuala Lumpur
kini sudah tiada masa
untuk mencari payung
berteduh kita bawah surat khabar
lalu terbaca berita kata
hujan ini tak akan reda.

Lagu dan lirik oleh Ana Raffali (© 2007 anaraffali muzik ent.)

NOTA: Hari ni saya dapat tahu HBKL dah ada caller ringtone. Untuk pelanggan Maxis dan Digi. Wow.. Terima kasih banyak-banyak untuk mereka yang beli servis ni. Terima kasih kerana sudi bawa hujan bunga di tempat masing-masing. ;) Bagi pelanggan Celcom, sila tunggu ada seprais dari kami ye.

Mungkin seharusnya, bila kita rasa sebak, sedih, marah, kecewa, penat, rindu yang buat kita rasa nak nangis, kita diingatkan bahawa masa tak perlu berhenti dengan rasa yang menyakitkan hati. Ramalan tak semestinya berlaku, tapi ia membawa secebis harapan. Harapan itu cukup untuk menggerakkan kita untuk terus berlari dan mencari pelengkap hidup masing-masing.

Hujan bunga bagi saya adalah satu harapan yang indah. Realitinya sukar, tapi cuba layarkan angan bahawa suatu hari nanti bila kita bertemu dengan kismet masing-masing, akan turun hujan bunga dari langit terus ke hati. Dan bahagia bukan lagi satu perkataan yang seringkali didengar tapi tak dirasa. Insya-Allah, saya percaya hujan rahmat itu tak akan reda.

*kismet itu untung nasib. Saya sedang menulis lagu tentang kismet di dalam kepala. ;)


28.7.09

Poskad

Satu hari kemas bilik. Bukan sebab sepah sangat (ehem), tapi selalu terjebak dengan barang lama. Nostalgia sungguh.

Sebenarnya saya suka kumpul poskad dari tempat-tempat yang saya pernah lawati. Dulu saya tampal kat dinding. Tapi sekarang macam terlalu banyak sangat untuk ditampal.

Saya bercadang untuk bagi poskad-poskad saya yang lebih. Kalau nak sekeping, hantarkan nama dan alamat awak ke saya(at)anaraffali(dot)com. Pastikan subjeknye: Poskad. Sila sertakan satu soalan trivia untuk saya jawab demi mengisi tempat kosong.

Pembahagian poskad adalah secara rawak dan menggunakan sistem siapa-cepat-dia-dapat.

Okey, selamat menulis!

26.7.09

Baju kurung

Ramai orang tanya "konsep saya dan baju kurung/kebaya".

Saya suka sebab selesa. Dan kalau potongan dan coraknya baik, cukup cantik.

Masa saya di universiti, saya lebih gemar pakai baju kurung ke kuliah. Pertama, saya malas cari pasal dengan pihak pengawal tentang etika permakaian. Kedua, dari zaman awal remaja lagi, saya lebih suka berbelanja duit yang abah bagi untuk buku daripada baju baru. Jadi koleksi baju kurung saya adalah dari himpunan baju raya yang mummy akan pastikan saya ada tiap-tiap tahun.

Pernah satu kali saya tak terfikir pun untuk cari baju raya, tengok-tengok kak Sue ada tersalah potong baju kebaya warna hijau tua dan arwah kak Ima kata bagi Ana pakai sebab dia kecik. Ehem.. Dah lebih 6 tahun dah kak Ima takde. Kebaya tu masih saya pakai, walaupun badan dah makin berisi. ;)

Mungkin ramai yang tertanya-tanya sejak bila saya mula naik pentas dengan gitar dan baju kurung. Saya mula main gitar masa semester terakhir pra-ijazah TESL di UiTM Bukit Sekilau, Kuantan. Belajar sendiri tengok buku chords dan cuba tiru. Saya memang kurang sabar, takde siapa-siapapun yang boleh luangkan masa untuk ajar saya main apa-apa lagu sampai mahir, Jadi saya pun tulis lagu sendiri dengan chords yang saya tahu masa tu. Akhirnya saya ada jugak lagu-lagu yang saya boleh main dengan gitar. Makin lama, makin biasa, makin seronok, makin suka.

Bila kawan-kawan saya tahu saya reti main gitar (walaupun sikit-sikit) dan saya buat lagu sendiri (walaupun sikit-sikit), rajinlah mereka suruh saya buat persembahan di majlis-majlis rasmi anjuran universiti. Kebetulanlah saya memang takde baju rasmi lain selain baju kurung untuk dipakai ke majlis-majlis tersebut. Jadi secara semulajadi saya akan membuat persembahan dengan baju kurung.

Tapi bila saya mula serius dengan muzik, dan lebih banyak lagu telah saya tulis. Saya terpanggil ke layar tanchap. Setelah beberapa kali, saya perasan warga di belakang tabir layar tanchap gemar berbaju melayu dan bersamping. Saya suka konsepnya. Jadi satu hari saya nyanyi dengan main gitar dengan baju kurung. Bukan rasa bes atau seronok sangat ke apa, rasa sangat biasa, rasa semulajadinya selesa, dan saya tak terfikir lebihpun daripada itu.

Dan bermulalah perjalanan saya bermain gitar berbaju kurung/kebaya. Bukannya pelik sangat bagi saya. Mungkin sebab saya dah biasa. Saya memang membesar dengan baju-baju kurung, t-shirt biasa-biasa, jeans yang tak mahal, sandals tahan lama. Menjadi sebahagian dari diri saya.

Saya pun orang yang biasa-biasa. Bertuah kerana dilahirkan dalam keluarga En. Raffali dari Negeri Sembilan dan Puan Halijah dari Pahang, membesar dengan 10 orang adik-beradik lain di Kuala Lumpur. Kami selalu bergurau dan bergaduh, seronok kan? Saya sayang mereka semua sebab merekalah saya macam ni, dan saya tak akan mintak lebih daripada ini. (Cuma harap-harap; akan lebih terel main lagu orang lain jugak.)

Kadang-kadang saya tanya diri saya, kenapa nak lalu jalan ni? Dah layak jadi cikgu, pensyarah pun tak jauh, kenapa nak perjuangkan muzik? Tentunya sebab saya minat muzik, saya serius dengan apa yang saya buat dan saya rasa saya mampu menulis lagu-lagu yang baik.

Tapi malam ni saya sedar, sayang saya pada keluarga saya menggerakkan saya ke jalan ni. Memang saya suka menulis lagu, tapi suka tak cukup untuk buat hati dan jiwa saya kenyang. Saya nak tengok mummy dan abah senang hati. Saya nak lengkapkan hidup keluarga saya. Sebab tu walaupun susah, saya nak buktikan sebenarnya bukan kebetulan saya suka main gitar dan buat lagu, bukan kebetulan awak dengar lagu-lagu saya dan suka, bukan kebetulan awak baca blog saya ni dan sedar di mana saya letakkan kepentingan saya.

Allah maha pengasih, maha penyayang. Saya tak ingat rupa baju kurung pertama saya, tapi saya akan ingat sampai bila-bila, siapa yang belikan dan siapa yang pakaikan pada saya.