31.1.09

percaya pada

Allah. Islam. Tuhan yang maha pengasih, maha penyayang. Yang wujud.

Saya tahu ilmu agama saya tidaklah setinggi mana. Mungkin hanya merangkumi buku teks Pendidikan Agama Islam KBSM. Selebihnya cebisan-cebisan dari apa yang diajar oleh mummy dan abah, dan yang sempat saya dengar dari ceramah di TV, juga yang saya baca dari buku-buku, perbualan dengan rakan-rakan yang lebih tahu.

Tapi saya rasa sangat bertuah. Sebab batasan ilmu tidak pernah menghalang saya untuk mempunyai rasa kepercayaan yang kuat terhadapNya, rasa mengasihi dan dikasihi yang tak mampu saya ertikan. Saya sedar, walaupun dari segi penampilan saya bukanlah seorang muslimah yang tipikal atau terbaik, tapi saya sedang berusaha semampu yang mungkin untuk menjadi lebih berguna, lebih memahami tujuan saya di muka bumi ini. Untuk memberi suara kepada situasi yang selalu disalahfahami.

Masa saya kecil-kecil dulu, mungkin ketika saya berumur 6-7 tahun, saya telah diberi peluang untuk menyedari hakikat kewujudan tuhan yang mendengar, yang mengasihani. Saya dan kakak saya, Jannah, seperti biasa sedang bermain di rumah jiran, bertentangan dengan rumah kami. Saya masih ingat ketika itu kami sedang bermain rumah-rumah. Dan pada hari itu, salah seorang dari kami tidak sihat, jadi kami pun "pergi klinik". Minda kanak-kanak saya memproses, kalau kita nak jumpa doktor, kita kena ada buku rawatan, macam buku abah bawak jumpa doktor bila kita sakit tu.

Saya pun balik ke rumah, berlari. Tanpa disedari oleh mummy, tangan panjang kecil saya telahpun mendapatkan buku tersebut. Setelah berjumpa dengan doktor dan menghabiskan permainan pada hari itu, saya lupa langsung pada buku itu.

Sehinggalah, suatu hari rumah En. Raffali dilanda panik. Ada anak abah tak sihat dan buku rawatan klinik tak dapat dikesan. Saya yang kecil, yang tahu, yang bersalah, senyap. Bertanya pada jiran, mereka tak jumpa, tak tahu kemana perginya. Lalu saya menyorok dalam bilik, takut dan menangis bawah bantal.

Macam-macam fikiran berperang dalam minda. Habislah kalau tak jumpa, tak boleh jumpa doktor, nanti sakit tak boleh baik, boleh mati. Habislah Ana kalau mummy tahu, kalau abah tahu, nanti dah tak sayang, nanti marah, nanti tak boleh keluar main dah.

Dan dalam waktu itu, dalam gelap, selamat dari kebisingan dan kekeliruan di luar, saya sedar takde apapun yang boleh saya lakukan, takde sesiapapun yang boleh tolong saya. Jadi saya berdoa, sebab mummy kata Allah akan tolong kita kalau kita berdoa. Takde kalimah dari kitab untuk mengiringi doa hamba kecilNya, hanya lafaz bismillah dan kata-kata hati yang terdesak, yang ingin percaya sedalam-dalamnya, yang ingin melihat keajaiban di dunia.

Saya masih ingat sujud saya atas tilam (saya suspek melanggar terus tatatertib) dan doa yang berulang-ulang disebut sampai penat, saya hampir tertidur. Keluar dari bilik saya mendapat jawapan kepada permintaan saya. Teman saya datang membawa buku yang dicari-cari dan memberikannya pada abah.

Alhamdulillah.

Allah wujud. Allah sayang saya. Biar apa orang kata, saya percaya dengan hubungan istimewa yang saya ada denganNya. Bagi saya, kepercayaan saya pada Dia dan RasulNya adalah sesuatu yang personal dan intim. Segala perkara yang berlaku, yang baik dan yang buruk adalah caraNya mengisi kewujudan saya sebagai hambaNya. Saya percaya, bila Allah menjadikan kita berbeza dalam pelbagai segi, dia juga menyatukan kita dengan kasih sayangNya. Kasih sayang yang hidup dalam segala yang benar, yang indah, yang kita hargai, yang tak pernah perlukan alasan.

Saya sedar hakikat saya menulis dan berkarya, usaha saya untuk berkongsi sesuatu yang bermakna, adalah dengan harapan dapat berkongsi kebenaran dan keindahan itu. Kalau bukan kerana kasih sayangNya yang dikurniakan pada saya, dijelmakan dalam bentuk pengalaman hidup saya sendiri, ditiupkan pada mereka yang saya kasihi, pernah saya kasihi dan yang masih saya sayang; tak mungkin gitar saya berbunyi, mustahil bibir saya mampu bergerak.

Dan melihat pada kesedihan yang menyelubungi dunia kita sekarang, saya berasa kecil dan lemah kembali. Dalam gelap, saya hanya mampu berdoa dan percaya. Insya-Allah.

27.1.09

A atau B



Saya dan kawan karib saya sedang menjalankan satu pertandingan untuk memilih 'olahan gambar terbaik' diantara A dan B.

Sila undi dan beri komen tentang pilihan anda. Terima kasih. :p

NOTA TAMBAHAN:

Ehem.. Setelah diteliti dan difahami, maka pemenang pusingan pertama "A atau B" jatuh kepada A. Tahniah kepada tuan punye olahan gambar kerana berjaya membuktikan takde orang boleh mahir menggunakan "kedai gambar" dalam masa yang singkat. Sila beri tunjuk ajar, terima kasih.

Kepada yang telah mengundi, sekalung penghargaan dari saya. Pandangan anda memang bes. Malang sekali pertandingan ini takde sponsor oleh itu, komen yang paling bernas atau bertuah tidak dapat dihadiahkan dengan apa-apa. Mungkin saya akan buat pertandingan lain di masa akan datang yang menjanjikan hadiah yang istimewa. ;p

23.1.09

LIRIK: Mekanika


Dulu dunia jadi saksi ku gila.
Senyum bersedih,
menangis gembira.
Mujur aku ditampar sedar.
Aku bukanlah sekadar
mekanika.

Yang senang
kau pasang
semula
bila patah.
Yang mudah
kau baiki
bila goyah.

Dulu kau bisik janji tanpa makna.
Hanya hanyut dalam harapan semesta.
Dan akhirnya kau dihimpit rasa.
Hatimu bukan sekadar
mekanika.

Yang senang
kau pasang
semula
bila patah.
Yang mudah
kau baiki
bila goyah.

Dulu dunia jadi saksi ku gila.
Minum air mata,
makan lagu cinta.
Mujur aku ditampar sedar.
Aku bukanlah sekadar mekanika.

Yang senang
kau pasang
semula
bila patah.
Yang mudah
kau baiki
bila goyah.

Lagu dan lirik oleh Ana Raffali (© 2008 anaraffali muzik ent.)


Video courtesy of booganik

19.1.09

LIRIK: Kek Merah

Dia cuba warnakan kek coklat
dengan pewarna tiruan yang murah.
Tapi adunannya terlalu pekat.
Lantas kek coklatnya jadi kek merah.

Jadi apa nak buat?
Kek dalam ketuhar,
nampak kelakar.

Sukar untuk aku jamah
sepotong kek merah.
Sekali ku suap
terus tergigit lidah.
Tertanya-tanya mungkin ada yang kurang
ataupun ada yang terlebih.
Hingga kek coklat-merahnya
membuatku terasa
sungguh aneh.

Kek merah yang dulunya kek coklat
telah dihiasi buah tempatan.
Sekali pandang nampak cukup hebat
tapi hanya pandangan permukaan.

Jadi apa nak buat?
Kek dalam ketuhar,
nampak terbakar.

Mana mungkin aku tak perasan.
Kau berdalih terang-terangan.
Cubalah sembunyi,
jangan tipu diri.
Aku tak percaya kau hanya
mangsa keadaan.

Lagu dan lirik oleh Ana Raffali (© 2008 anaraffali muzik ent.)

Air Pasang Pagi




Ni anak saudara saya. Namanya Nur Amira Farzana atau nama glamernya Pardjana. Dia suka menyanyi (macam makcik dia lah). Baru 1 tahun 7 bulan tapi sudah terer.

Kalau ada kelapangan akan saya poskan video dia menyanyi lagu Hujan Bunga di KL pulak. ;)

Kalau awak tak keberatan silalah singgah di sini.

18.1.09

Kem AJL

Bagi mereka yang masih belum tahu, saya berada di bawah label Aidit Alfian Productions. Jadi tidak hairanlah sekiranya seringkali ternampak kelibat jejaka matang berambut panjang mengusung beg gitar di sisi saya pada hampir setiap gig yang saya sertai.

Juga tidak hairanlah bila lagu Aidit Alfian berjaya ke Finals AJL, saya pun diberi peluang untuk menimba ilmu dan pengalaman dengan menyumbangkan suara untuk backup Cik Elyana bagi lagu Kalis Rindu, lirik oleh saudara Ad Samad (tiada pertalian dengan A. Samad Said).

Rasa macam berada di "band camp" atau yang lebih kurang. Secara ringkasnya, saya rasa lebih bersemangat untuk berkarya, menulis lagu, menyanyi dan bermain gitar dengan baik. Mungkin berada di persekitaran dimana setiap orang begitu serius dan gigih dengan bidang kerja masing-masing membuatkan saya lebih menghargai sumbangan setiap individu di dalam industri muzik kita.

Baik penyanyi mahupun pemuzik, juruaudio dan stage managers... Masing-masing berusaha untuk melakukan yang terbaik.

Saya rasa macam berada di kem motivasi. Mendapat banyak peluang untuk berbual dan belajar dengan pelbagai orang tentang perjalanan hidup, seni dan karya, gitar dan deram. Dan yang paling penting, terdetik di hati untuk berusaha sehabis baik supaya tahun hadapan akan lebih bermakna lagi. ;)