23.1.11

Terima kasih lagi dan lagi...

Salam semua! Saya cuma mahu korang semua tahu yang sekiranya ada kenyataan yang berbaur seolah-olah saya lupa diri, bongkak atau sombong, tolong maafkan saya. Saya tak bermaksud untuk kelihatan berlagak atas kemenangan saya dalam AJL. Bila saya kata saya boleh pulangkan trofi sebab cukup M. Nasir kata saya menang, itu maksudnya saya tak mahu kejayaan saya dinilai dengan material. Bertanding dalam AJL pun sudah cukup untuk buat saya rasa kemenangan kecil sebab layaknya saya bertanding atas undian korang semua yang sudi menyokong saya. Jadi sebenarnya, saya rasa cukup kalau seseorang dapat hargai kerja saya, cukup bila korang semua kat sini sokong karya saya. Walaupun bilangan kita kecil, tapi kecil2 kita inilah sebenarnya kemenangan yang manis buat saya. Kemenangan tak semestinya pada gelaran, tak semestinya pada trofi. Sebab tu korang patut tahu saya akan sentiasa hargai korang yang saya sayang, yang sudi menangkan saya dalam hati masing2. ;)

20.1.11

Bukan Melatah, Cuma Memohon

Assalamualaikum & salam sejahtera,

Saya minta maaf sekiranya ada pihak yang betul-betul terguris, terkecil hati, terluka akibat perbuatan saya, perlakuan saya, sama ada dalam bentuk kata-kata mahupun tingkah laku. Bukan niat saya untuk mendatangkan beban atau tekanan kepada hidup pihak yang terbabit. Saya memang akui saya tidak lepas daripada melakukan kesilapan, dan saya meminta belas kasihan awak untuk memberi saya peluang untuk memperbaiki diri saya sendiri.

Izinkan saya berkongsi tentang khabar bahawa saya lambat pada sesuatu majlis dan tidak meminta maaf.

Maaf saya memang lambat. Tapi tidaklah sampai satu jam atau beberapa jam seperti yang telah digembar-gemburkan. Saya juga tidaklah kurang ajar sehingga langsung tidak memohon maaf atas kelewatan itu. Apa yang berlaku adalah salah faham diantara wakil pihak pengurusan saya yang berhubung dengan wakil pihak penganjur.

Sebenarnya, kami telahpun mempunyai komitmen terdahulu untuk menjayakan sebuah konsert, tetapi demi memenuhi permintaan telah bersetuju untuk turut serta menjayakan satu lagi acara pada hari yang sama. Kami telah diberitahu bahawa kenderaan(transportation) untuk ke tempat acara akan disediakan, cuma tidak tahu menahu rupanya bagaimana. Dijemput ke acara itu secara 'personal' dan dihantar ke acara seterusnya secara 'personal' kerana kami menginap di hotel yang berbeza.

Disebabkan malam yang sebelumnya kami dan keseluruhan produksi untuk satu konsert besar habis agak lewat, tinggal beberapa jam sahaja untuk saya berehat sebelum masa untuk bersiap untuk berpentas(menyanyi). Saya meminta wakil PR saya untuk menghubungi wakil pihak penganjur untuk bertanya pukul berapa dijangka 'transport' akan sampai. 12.30pm katanya. Ketika itu saya sedang mengenakan solekan sendiri kerana telah diberitahu terlebih dahulu.

Tiba-tiba PR saya telah ditelefon pada pukul 12 dan katanya mereka sudah sampai di hotel. Saya masih belum siap dan mereka telah sampai lebih awal dari yang dijanjikan. Kelam kabut bersiap, panik. Saya ada satu masalah dimana kalau saya panik saya akan sakit perut. Itu memang tidak membantu. PR saya telah meminta maaf dan memohon untuk diberikan sedikit masa untuk saya habiskan apa yang saya perlu lakukan.

Kedebub kedebab apabila turun ke lobi, hati saya berat dan rasa cukup bersalah untuk mendapati satu bas terpaksa menunggu saya, sedangkan dalam kepala, saya bayangkan ada sebiji kereta kalau bukan van yang datang menjemput kami. Perkara pertama yang keluar dari mulut saya apabila menaiki bas ialah, "Sorry." Namun mungkin tak semua yang sudi pandang saya atau pedulikan saya untuk dengar. Sepanjang acara berlangsung saya mencari peluang untuk memohon maaf kepada wakil-wakil dari pihak penganjur dan juga rakan-rakan artis dan saya percaya jika mereka ditanya perkara itu mereka akan menjawab sebenar-benarnya.

Sekali lagi saya ingin memohon maaf atas kelewatan saya kepada pihak yang saya terlepas untuk cakap. Saya faham perasaan mereka yang terpaksa menunggu dan saya rasa cukup lemah memikirkan bahawa kejadian tersebut memang di luar kawalan saya. Kelemahan saya tidak mampu mempersiapkan diri dengan lebih pantas. Saya sangat baru dalam bidang dimana penampilan diri memang dititikberatkan, jadi berilah masa untuk saya belajar mahirkan diri. Saya tak punya apa-apa kuasa untuk mengubah apa yang telah berlaku, tapi kuasa untuk mengampun dan mengasihani terletak dalam tangan awak. Tolong maafkan saya.

Saya juga mahu semua faham bahawa saya tidak bertindak keseorangan, segala tindak-tanduk saya dijaga oleh pihak pengurusan saya sendiri, jadi salah faham sebegini sememangnya punya ruang untuk berlaku. Jadi mereka sampai lebih awal dari yang dijangka, dan saya pula tersalah bajet masa untuk bersiap. Lewat 15min (dalam jangkaan awal) berbanding lewat 50min(dalam realiti) bukankah dua perkara yang berbeza?

Cuma saya sedikit kecewa bahawa ceritanya telah ditokok tambah untuk memberikan gambaran seolah-olah saya tiada integriti langsung dalam kerjaya saya. Seolah-olah pihak pengurusan saya telah lepas tangan dan tidak bertanggungjawab dalam menjaga saya. Lain yang berlaku, lain yang diceritakan, lain pula yang disampaikan. Sewajarnya segala kekeliruan tentang diri saya atau masalah tentang saya perlu diselidik terlebih dahulu sebelum dijaja menjadi satu cerita sensasi.

Saya berpegang pada pesanan ibu saya. Hormat orang, kalau kita buat salah, minta maaf, kalau orang berjasa dengan kita, ucap terima kasih. 'Be a good girl.' Senang saja. Mungkin perkara ini berlaku hanya untuk menolong mengingatkan saya betapa rapuhnya dunia kita ini. Dan saya harus redha dengan ketentuan-Nya untuk menduga saya sebegini hanya untuk menjadikan saya insan yang lebih baik dari sebelumnya.

Ya Allah ya Tuhanku, Maha Pengasih, Maha Penyayang, ku berdoa pada-Mu untuk meminjamkan sedikit belas kasihan pada mereka yang menghukum diriku dengan kata-kata ya Allah. Tenangkanlah hati mereka yang menyimpan dendam, pulihkanlah luka pada perhubungan aku dengan mereka ya Allah. Kau kurniakanlah kesejahteraan pada mereka supaya hidup mereka tidak dihantui perasaan benci pada hamba-Mu ini ya Allah. Sesungguhnya Engkau saja yang kenal hati budi hamba-hamba-Mu.

Amin.

Terima kasih kerana sudi membaca dan sudi memberi ruang dalam hati untuk memahami penjelasan saya. ;)

19.1.11

LIRIK: Sehabis Baik

Sehabis Baik

Ku mulakan hariku dengan segunung harapan
panjatkan pohon pada yang Maha Esa
Kelak langkah kakiku kan ketemukan aku
dengan jawapan yang lebih nyata

Entah ini harinya
ku kan berjumpa dengannya
jadi ku harus berusaha sehabis baik
Nanti dia kan lihat
semangatku makin ligat
hingga buruk jadi cantik

Pom pom pom pom (pom pom pom pom)
pom pom pom pom (pom pom pom pom)
pom pom pom pom
pom pom
pom pom pom
Langkah kaki (langkah kaki)
Gerak hati (gerak hati)
Terus kejar bayang yang diimpi

Biarpun sering keliru
ku tahu ke mana harus ku tuju

Ku lengkapkan diriku dengan seribu pesanan
namun tak mampu untuk ku ingat semua
Kelak langkah kakiku kan ketemukan aku
dengan peringatan istimewa

Harap ini masanya
untuk ku buktikan semua
bahawa ku telah berusaha sehabis baik
Mesti aku kan dapat
semangatku jadi ubat
pada jiwa yang tercarik

Pom pom pom pom (pom pom pom pom)
pom pom pom pom (pom pom pom pom)
pom pom pom pom
pom pom
pom pom pom
Langkah kaki (langkah kaki)
Gerak hati (gerak hati)
Terus kejar bayang yang diimpi
Langkah kaki (langkah kaki)
Gerak hati (gerak hati)
Terus kejar bayang yang diimpi
Terus kejar bayang yang diimpi
Dengan dia oh sukanya hati!

Lagu dan lirik oleh Ana Raffali (© 2011 anaraffali muzik ent.)

NOTA: Lagu yang saya tulis istimewa untuk filem Karipap-karipap Cinta arahan Othman Hafsham diadaptasi daripada novel tulisan Nazri M Annuar. ;)

17.1.11

LIRIK: Tolong Ingatkan Aku

Tolong Ingatkan Aku

Jangan disusun kata-kata penamat
jangan disebut baris ayat keramat
biar lenyap diserap sunyi
biar senyap yang tak menyepi

tolong ingatkan aku
kisah kau tersedar
dengan saku penyeluk masa

Mari patahkan papan markah lama
mari padamkan buku tiga lima
biar luka sembuh sendiri
biar lupa ditebus hari

tolong ingatkan aku
kisah kau tersedar
dengan saku penyeluk masa
kau dampingi aku
setiap detik jantungku berdetak
setiap nota jiwaku berlagu-lagu

bila marah merasuk minda
kecewa menyelubungi jiwa
aku lupa

tolong ingatkan aku
kisah ku tersedar
dengan kasih memeluk rasa
ku teringatkanmu
setiap detik jantungku berdetak
setiap nota jiwaku berlagu-lagu

tolong ingatkan aku kisah kita
tolong ingatkan aku
kisah ku tersedar
dengan kasih memeluk rasa

tolong ingatkan aku
kisah kita

Lagu dan lirik oleh Ana Raffali (© 2009 anaraffali muzik ent.)

09/06/12 NOTA: Menulis puisi dan lirik itu satu disiplin yang berbeza. Kadangkala melodi diutamakan untuk memberi rentak pada penceritaan dalam mana-mana lagu. Ada juga masa lirik membawakan ritma yang menentukan corak melodi. Puisi lebih bebas dan tak tertakluk pada mana-mana ukuran.

Dalam proses penulisan lagu, saya lebih biasa dengan melodi dulu sebelum lirik. Dalam kes ini, saya sudah tahu apa yang saya cuba sampaikan jadi liriknya mudah dicapai dari apa yang saya pernah kupas.

Seperti yang awak boleh lihat, walaupun ceritanya sama (perkataan yang digunakan pun sama), terdapat kelainan dari segi susunan dan fokus masing-masing. Puisi barangkali lebih kepada memujuk supaya jangan bergaduh dan berpisah, manakala lagu/liriknya adalah peringatan untuk tidak bergaduh dan berpisah. Haha.. Saya hanya menulis, bukan menghurai. ;p

Kesimpulannya, saya lebih selesa berlagu dari berpuisi. Tapi, setelah mengupas subjek ini di dalam puisi, macam lagi senang lah pulak untuk menulis lirik. Mungkin saya akan cuba cara ini lagi. ;)

NOTA TAMBAHAN:

17/1/11 - Syukur Alhamdulillah, lagu ini terpilih sebagai Juara AJL 25. Terima kasih atas doa dan sokongan anda yang sudi meluangkan masa. Saya mendapat banyak permintaan untuk berkongsi maksud lagu ini secara terperinci dan saya akan cuba untuk menyampaikannya sebaik mungkin.

Kadang kala apabila saya menulis lagu, saya akan membayangkan satu situasi yang seolah-olah dipetik dari filem. Dan untuk TIA saya dapat melihat sepasang kekasih yang baru lepas bergaduh di dalam kereta dalam perjalanan menghantar gadis pulang ke rumah. Masing-masing senyap dan tak tahu apa untuk dicakap lagi. Pelbagai andaian dan idea negatif berlegar dalam kepala kedua-duanya. Terasa seperti ingin menghentikan hubungan, menyerah kalah dan berputus asa. Dan keluarlah idea;

Jangan disusun kata-kata penamat, jangan disebut baris ayat keramat, biar lenyap diserap sunyi, biar senyap yang tak menyepi - Ungkapan kita putus umpama ayat keramat yang mampu menghancurkan hati yang bercinta. Jangan kata apa-apa yang mungkin memudaratkan keadaan, lebih baik diam tapi bukan untuk menarik diri, menyepikan diri dari hubungan itu. Sebaliknya berikan ruang dan masa untuk memikirkan dengan tenang.

Tolong ingatkan aku kisah kau tersedar dengan saku penyeluk masa, kau dampingi aku setiap detik jantungku berdetak, setiap nota jiwaku berlagu-lagu - Saya fikir semua orang boleh ungkap kata sayang tapi belum tentu dapat buktikan. Daripada menulis "tolong ingatkan aku kisah kau tersedar yang kau sayang aku" saya memilih untuk menzahirkan sayang itu dengan berkongsi betapa bernilainya kasih sayang itu apabila disertakan dengan pengorbanan dan dalam kes ini, "kau" sanggup menyeluk masa, mencari dan mencuri detik hanya untuk dampingi "aku" selagi hayatku ada, untuk setiap nota dalam lagu yang mengiringi hidupku. Kiranya, penyeluk masa ini dapat diimaginasi sebagai seseorang yang mempunyai waktu yang banyak dalam poket yang boleh digunakan sesuka hati. Dan hatinya mahu menghabiskan waktu dengan orang yang dia sayang.

Mari patahkan papan markah lama, mari padamkan buku tiga lima, biar luka sembuh sendiri, biar lupa ditebus hari - Jangan kira poin kalah menang, jangan berkira atau rasa berhutang/menghutang dengan orang yang kita sayang dan sayang kita. Biar masa memulihkan keadaan.

Bila marah merasuk minda, kecewa menyelubungi jiwa, aku lupa - Kita lalai, leka, alpa bila kita biarkan emosi, perasaan negatif menguasai pertimbangan.

Tolong ingatkan aku kisah ku tersedar, dengan kasih memeluk rasa. Ku teringatkanmu setiap detik jantungku berdetak, setiap nota jiwaku berlagu-lagu - Kadang-kadang kita tak sedar betapa kita sayang akan seseorang sehinggalah kita berani berdepan, berlaku jujur dengan perasaan sendiri. Sesetengah orang hidup menafikan rasa kasih atau cinta pada seseorang atas sebab-sebab berbeza, malu, takut, ego, marah dan sebagainya. Dan kita sedar bahawa kasih sayang itu ada dan dapat dirasa hanya bila dia tiada disisi dan kita masih memikirkannya.

Kesimpulanya, TIA saya tulis sebagai peringatan untuk menghargai orang yang kita sayang dan sayang kita.

Oh, bagi yang tertanya-tanya apa yang saya cuba gambarkan dengan persembahan ala teater saya dalam AJL, izinkan saya berkongsi.

Sangkar itu adalah simbolik untuk membawa drama kepada seseorang yang dihukum oleh orang yang dia sayang, diperangkap oleh perasaan negatif seperti ego, cemburu, marah dan kecewa yang dibawa oleh keempat-empat "hantu" atas pentas. Apabila timbul masalah atau pergaduhan antara pasangan kekasih, selalunya akan ada pemangsa dan yang dimangsakan. Tetapi sebenarnya kedua-kedua sama terperangkap dalam sangkar atau hukuman masing-masing(sebab itu ada dua sangkar). Hanya kasih sayang dan belas kasihan (dua orang penari berbaju putih) mampu melepaskan kita dari sangkar/hukuman tersebut, dan kita bertanggungjawab untuk melepaskan orang yang kita sayang dari dibelenggu kerana kita sajalah yang mampu. Dan cara yang terbaik untuk melepaskan diri dari perasaan atau andaian yang buruk ialah dengan mengingatkan tentang kemanisan perhubungan itu, betapa pentingnya orang yang kita sayang.

Jadi itulah dia. Saya faham disebabkan keterbatasan siaran secara langsung, banyak adegan tidak dapat dikongsi dengan penonton di rumah. Tapi saya akan usahakan untuk berkongsi rakaman keseluruhan pentas dari tempat duduk depan bersama dengan anda semua, insyaAllah. Terima kasih kerana sudi menyeluk masa dan membaca huraian dari saya. ;)