29.8.10

Slanga Bukan Melayu

Saya tak rasa menyanyi dalam apa jua loghat atau slanga itu merupakan satu jenayah berat mahupun masalah negara. Saya juga tak rasa yang cara nyanyian saya adalah satu yang memalukan sebagai gadis melayu yang tinggal di Kuala Lumpur. Mungkin lebih mudah kita lihat cara nyanyian seseorang itu seperti cara kita bertutur. Tak semua orang sama, tapi kenapa kita mampu memahami antara satu sama lain.

Saya hargai kelainan kita yang berbilang bangsa, asal dan keturunan. Jika ada syarat yang ketat untuk membolehkan orang berbual atau berkomunikasi sesama sendiri, atau seelok-eloknya kita semua patut mematuhi satu cara lazim sewaktu bertutur, pelbagai persoalan akan timbul. Cara bertutur mana yang patut kita ikut, peraturan bahasa apa yang perlu kita pegang? Sanggupkah kita biarkan bahasa kita sendiri terbiar sekiranya seluruh dunia mengagungkan bahasa yang lain? Cara kita bercakap mencerminkan identiti kita. Perlukah kita bertukar identiti hanya untuk menyesuaikan diri dengan tuntutan orang?

Saya harap pendengar-pendengar saya tak menghukum saya atas kemampuan saya, kesukaan saya, perwatakkan saya menyampaikan lagu-lagu yang saya tulis sendiri. Saya bukan seorang penyanyi yang dasyat, tapi saya seorang penulis lagu yang faham keinginan lagu-lagu yang saya tulis. Saya juga tak merasakan adapun slang yg keterlaluan ketika menyanyi yang menjejaskan maksud yang cuba saya sampaikan, mungkin ia disalahfahamkan dari lenggok melodi yang saya cipta. Saya masih menyanyikan lagu-lagu melayu, Alhamdulillah ada yang faham. Muzik itu universal, tanpa memahami maksud sebenar lagu kita dapat menyukai apa-apa melodi, (saya peminat band jepun seperti Glay & Judy and Mary dan saya langsung tak faham apa yang mereka katakan dalam lagu tapi saya masih suka).

Dan saya percaya, melalui minat pada sesuatu lagu akan timbul keinginan untuk memahami dengan lebih mendalam. Daripada itu, kita dapat lihat usaha sesetengah individu yang mencari lirik sebenar dan merangkai maksud sendiri berdasarkan pengalaman atau imaginasi masing-masing. Terharu saya bila mendengar atau membaca komen daripada awak yang meyakinkan saya, awak seorang pendengar yang aktif, yang cukup menghargai penat lelah saya menulis lagu untuk duduk dekat di hati awak, yang memaafkan saya atas kepayahan memahami sesuatu lagu hanya kerana kekurangan saya sebagai penyanyi tapi langsung tak kisah sebab suka, menerima saya sebagai seorang individu yang lain sedikit dari yang biasa dan cuba memahami isi hati saya.

Hehe.. bila fikirkan semula, saya telahpun menulis lagu "Cuba Jangan" untuk menyampaikan maksud saya untuk pos ini.