31.1.09

percaya pada

Allah. Islam. Tuhan yang maha pengasih, maha penyayang. Yang wujud.

Saya tahu ilmu agama saya tidaklah setinggi mana. Mungkin hanya merangkumi buku teks Pendidikan Agama Islam KBSM. Selebihnya cebisan-cebisan dari apa yang diajar oleh mummy dan abah, dan yang sempat saya dengar dari ceramah di TV, juga yang saya baca dari buku-buku, perbualan dengan rakan-rakan yang lebih tahu.

Tapi saya rasa sangat bertuah. Sebab batasan ilmu tidak pernah menghalang saya untuk mempunyai rasa kepercayaan yang kuat terhadapNya, rasa mengasihi dan dikasihi yang tak mampu saya ertikan. Saya sedar, walaupun dari segi penampilan saya bukanlah seorang muslimah yang tipikal atau terbaik, tapi saya sedang berusaha semampu yang mungkin untuk menjadi lebih berguna, lebih memahami tujuan saya di muka bumi ini. Untuk memberi suara kepada situasi yang selalu disalahfahami.

Masa saya kecil-kecil dulu, mungkin ketika saya berumur 6-7 tahun, saya telah diberi peluang untuk menyedari hakikat kewujudan tuhan yang mendengar, yang mengasihani. Saya dan kakak saya, Jannah, seperti biasa sedang bermain di rumah jiran, bertentangan dengan rumah kami. Saya masih ingat ketika itu kami sedang bermain rumah-rumah. Dan pada hari itu, salah seorang dari kami tidak sihat, jadi kami pun "pergi klinik". Minda kanak-kanak saya memproses, kalau kita nak jumpa doktor, kita kena ada buku rawatan, macam buku abah bawak jumpa doktor bila kita sakit tu.

Saya pun balik ke rumah, berlari. Tanpa disedari oleh mummy, tangan panjang kecil saya telahpun mendapatkan buku tersebut. Setelah berjumpa dengan doktor dan menghabiskan permainan pada hari itu, saya lupa langsung pada buku itu.

Sehinggalah, suatu hari rumah En. Raffali dilanda panik. Ada anak abah tak sihat dan buku rawatan klinik tak dapat dikesan. Saya yang kecil, yang tahu, yang bersalah, senyap. Bertanya pada jiran, mereka tak jumpa, tak tahu kemana perginya. Lalu saya menyorok dalam bilik, takut dan menangis bawah bantal.

Macam-macam fikiran berperang dalam minda. Habislah kalau tak jumpa, tak boleh jumpa doktor, nanti sakit tak boleh baik, boleh mati. Habislah Ana kalau mummy tahu, kalau abah tahu, nanti dah tak sayang, nanti marah, nanti tak boleh keluar main dah.

Dan dalam waktu itu, dalam gelap, selamat dari kebisingan dan kekeliruan di luar, saya sedar takde apapun yang boleh saya lakukan, takde sesiapapun yang boleh tolong saya. Jadi saya berdoa, sebab mummy kata Allah akan tolong kita kalau kita berdoa. Takde kalimah dari kitab untuk mengiringi doa hamba kecilNya, hanya lafaz bismillah dan kata-kata hati yang terdesak, yang ingin percaya sedalam-dalamnya, yang ingin melihat keajaiban di dunia.

Saya masih ingat sujud saya atas tilam (saya suspek melanggar terus tatatertib) dan doa yang berulang-ulang disebut sampai penat, saya hampir tertidur. Keluar dari bilik saya mendapat jawapan kepada permintaan saya. Teman saya datang membawa buku yang dicari-cari dan memberikannya pada abah.

Alhamdulillah.

Allah wujud. Allah sayang saya. Biar apa orang kata, saya percaya dengan hubungan istimewa yang saya ada denganNya. Bagi saya, kepercayaan saya pada Dia dan RasulNya adalah sesuatu yang personal dan intim. Segala perkara yang berlaku, yang baik dan yang buruk adalah caraNya mengisi kewujudan saya sebagai hambaNya. Saya percaya, bila Allah menjadikan kita berbeza dalam pelbagai segi, dia juga menyatukan kita dengan kasih sayangNya. Kasih sayang yang hidup dalam segala yang benar, yang indah, yang kita hargai, yang tak pernah perlukan alasan.

Saya sedar hakikat saya menulis dan berkarya, usaha saya untuk berkongsi sesuatu yang bermakna, adalah dengan harapan dapat berkongsi kebenaran dan keindahan itu. Kalau bukan kerana kasih sayangNya yang dikurniakan pada saya, dijelmakan dalam bentuk pengalaman hidup saya sendiri, ditiupkan pada mereka yang saya kasihi, pernah saya kasihi dan yang masih saya sayang; tak mungkin gitar saya berbunyi, mustahil bibir saya mampu bergerak.

Dan melihat pada kesedihan yang menyelubungi dunia kita sekarang, saya berasa kecil dan lemah kembali. Dalam gelap, saya hanya mampu berdoa dan percaya. Insya-Allah.

10 ulasan:

  1. Salam,
    Klassik nye cerita u ana.. =)
    terigt zaman saya nakal2 dulu hehehe.. erk skang pun nakal lagi

    BalasPadam
  2. ALLAH sentiasa ada di sisi kita.
    tidak merasa tidak bermakna tiada disisi.
    syukur,
    kau yang maha kuasa!

    BalasPadam
  3. ...dan DIA yang tidak pernah jemu,
    pada aku yang sering merayu,
    walau dosa-dosaku setinggi gunung kinabalu,
    DIA tidak pernah jemu,
    membantu aku...

    BalasPadam
  4. babe, little ms.ana has been privatised is it?
    can you let his old friend in?
    she needs her regulars to keep her sane :)

    BalasPadam
  5. yup.
    me too ana!!
    saya juga mahu terus membaca vesi penjajah anda.

    BalasPadam
  6. Irama hati selalu bergema lebih tulus.
    Dan Ana lahirkan dengan nota pada gitar.
    A talent from Him, is a blessing indeed.

    BalasPadam
  7. kesedaran Islam ini perlu ada di dada semua Muslim. tak kisah lah sedang mengangkat senjata mahu pun mengangkat gitar. tahniah atas kesedaran dan selamat maju jaya..

    BalasPadam
  8. Salam ukhuwah dari bumi Moscow.
    Ini ayat kegemaran saya dari surah kegemaran saya dari Kitab kegemaran kita, al-Quran:

    Yang Maha Pengasih. Yang telah mengajarkan al-Quran. Dia menciptakan manusia, mengajarnya pandai berbicara.
    (Ar-Rahman:1-4)
    Wallahualam... <3 <3 <3

    BalasPadam
  9. salam ana..

    akak suka sgt dengan entry ini..menarik..

    BalasPadam